PEMAIN skuad Rusa diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam usaha mencipta kemenangan menentang skuad Penyu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Malah, jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan turut berpesan kepada anak-anak buahnya agar tidak terlalu selesa dengan faktor bermain di gelanggang sendiri sebagai satu kelebihan.
Katanya, prestasi dan semangat skuad penyu kian meningkat selepas menundukkan pendahulu liga, Selangor dengan jaringan besar 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.
”Saya sudah mengingatkan para pemain agar bermain lebih berhati-hati dan jangan leka kerana tahap keyakinan Terengganu yang semakin bangkit mungkin menjadi ancaman kepada kita untuk mengutip mata penuh pada perlawanan malam ini,” katanya.
Bagaimanapun, jelas Wan Jamak, pasukannya itu mempunyai kelebihan dari segi tenaga selepas perlawanan Pahang menentang Negeri Sembilan, di Stadium Darul Makmur, Kuantan ditunda berikutan kemangkatan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar, Sabtu lalu.
”Semua pemain telah mendapat rehat yang cukup dan ini jelas satu kelebihan buat pasukan kami untuk mengasak Terengganu malam ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pergerakan beberapa pemain skuad Penyu seperti Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin yang menjadi nadi pasukan itu akan dikunci bagi memastikan gawang skuad Rusa tidak dirobek .
Dalam pada itu, ujarnya, segala persiapan menentang Terengganu berjalan seperti biasa dan tiada rombakan kesebelasan utama akan dilakukan malam ini.
”Saya akan menurunkan kesebelasan utama seperti biasa dan tanggungjawab besar untuk merobek gawang lawan akan dipikul oleh penyerang utama kami, Zaquan Adha Abdul Razak dan pasangannya yang akan ditentukan sebelum perlawanan,” katanya.
Tags: Ashaari Shamsuddin, Liga Malaysia, Liga Super, Manaf Mamat, Negeri Sembilan, Paroi, Prebiu, Terengganu