PEMAIN Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan yang boleh menjejaskan rentak pasukan dan misi meraih mata kemenangan apabila turun menentang Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.
Ingatan itu diberikan jurulatih mereka, Wan Jamak Wan Hassan yang mahu setiap pemain bersikap lebih komited dan berhati-hati bagi mengelak menerima nasib sama selepas gagal mempamerkan persembahan cemerlang ketika bertemu Kelantan, Sabtu lalu, yang berkesudahan Negeri Sembilan tewas 1-3 kepada skuad ‘Red Warriors’ itu.
Katanya, tiada guna jika menguasai saingan tetapi gagal menjaringkan gol, justeru pemain perlu memberikan persembahan meyakinkan dengan menyempurnakan setiap peluang bagi menjamin tiga mata berharga dibawa pulang ke Seremban.
“Saya sudah mengingatkan pemain, mereka perlu memberikan persembahan cemerlang kerana Perak, walaupun berada dalam kelompok empat terbawah, tidak boleh menganggap laluan mudah mencapai kemenangan.
“Ini kerana barisan utama Perak sudah pasti akan turun habis-habisan bagi mempertahankan kelebihan mereka dan jika pemain tidak berwaspada serta masih mengulangi kesilapan, sudah pasti boleh memberi kesan kepada keputusan perlawanan.
“Saya berharap pemain Negeri Sembilan mengambil iktibar daripada kegagalan kepada Kelantan tempoh hari dan kembali bangkit dengan azam serta semangat tinggi di Ipoh, nanti,” katanya, semalam.
Negeri Sembilan yang kini menduduki tempat keempat carta Liga Super dengan mengumpul 17 mata perlu menang ke atas Perak jika berhasrat memperbaiki kedudukan dan mencabar tiga pasukan teratas.
Kegagalan mencapai kemenangan atau meraih sebarang mata akan menjarakkan lagi kedudukan juara Piala FA itu dengan Selangor, Johor FC dan Kelantan, malah kemungkinan dipintas Kedah yang hanya dipisahkan dengan satu mata.
Sehubungan itu, Wan Jamak berharap Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang kali terakhir menjaringkan gol pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam, dapat menyerlahkan kehebatannya untuk menyumbang gol kemenangan.
Tags: Liga Super, Negeri Sembilan, Prebiu, Wan Jamak