TERENGGANU mengambil alih kedudukan tangga kedua carta Liga Super daripada Kelantan selepas membelasah Pulau Pinang 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam yang menyaksikan hampir keseluruhan pasukan berubah posisi masing-masing.
Selangor terus selesa mendahului di kedudukan teratas liga selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kelab KL Plus.
Kelantan yang menduduki tangga kedua sebelum ini turun ke tangga kelima selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis di Kangar.
Paling mencuri tumpuan adalah kemenangan dramatik yang diraih Pahang dan Perak apabila masing-masing menjaringkan dua gol di minit-minit akhir perlawanan untuk menundukkan lawan mereka.
Pahang bangkit mengatasi T-Team 2-1 di Stadium Darul Makmur selepas ketinggalan satu gol pada minit ke-21.
Perak pula menjaringkan dua gol pada masa kecederaan babak kedua untuk meraih kemenangan penuh dramatik ke atas Johor di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin. Ia adalah kemenangan sulung buat pasukan Yob selepas tewas dua aksi sebelum ini.
Johor muncul pasukan tunggal yang masih belum menjaringkan gol dan gagal meraih sebarang mata setakat ini. Pasukan bimbingan Nasir Yusof itu berada di tangga terbawah liga dengan pintu golnya sudah lapan kali dibolosi selepas tiga perlawanan.
Tags: Liga Malaysia, Liga Super, Pahang, Perak, Terengganu