KELANTAN terus mengekori rapat dua pasukan teratas, Selangor dan Terengganu selepas menang selesa 3-0 ke atas tuan rumah, KL Plus dalam aksi Liga Super malam ini.
Perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh RTM 1 itu menyaksikan skuad Red Warriors berpeluang menjaringkan lebih banyak gol jika barisan penyerang terutama Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar meledak lebih tepat ke sasaran.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu Kelantan membuka jaringan menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-28 serta menambah satu lagi gol pada minit ke-40 juga menerusi Norshahrul.
Kedudukan Kelantan bertambah kukuh apabila Hairuddin Omar berjaya menjaring gol ketiga pelawat yang juga gol pemain itu buat pasukan Kelantan.
Kemenangan Selangor 3-0 ke atas T-Team dan Terengganu 4-0 membelasah Perlis menyaksikan kedudukan tiga tempat teratas Liga Super tidak berubah.
Johor FC turut kekal di tangga keempat hasil kemenangan 3-0 ke atas Johor di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Dalam pada itu, kunjungan Kedah ke Kuantan menerima nasib malang apabila dikecewakan pasukan Tok Gajah 1-2 manakala Kuala Lumpur menang 2-1 ke atas Perak di halaman sendiri.
Tags: Kelantan, KL Plus, Liga Super