8 Nov 2009
PENANTIAN 61 tahun Negeri Sembilan untuk menjulang Piala Malaysia akhirnya tercapai selepas menewaskan Kelantan 3-1 malam tadi.
Pertembungan penuh bersejarah Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil jelas penuh drama.
Kelantan yang dikatakan mampu menamatkan kemarau 40 tahun tanpa sebarang piala begitu gah dengan sorakan 60 ribu penonton fanatik mereka, begitu juga Negeri Sembilan yang mengejar kejuaraan pertama selepas 61 tahun.
Asakan berterusan Negeri Sembilan akhirnya membuahkan gol pertama menerusi sentuhan pemain sayap kanannya, Shahrurain Abu Samah pada minit ke-19, sekaligus menggamatkan Stadium Nasional.
Gol tersebut menenggelamkan terus sorakan awal penyokong The Red Warriors yang awalnya menguasai laungan.
Derita Kelantan berterusan apabila Hairuddin Omar bingkas menanduk masuk bola hantaran Zaquan selepas melepasi perangkap offside untuk gol kedua Negeri Sembilan pada minit pertama separuh masa kedua.
Skuad hobin jang hobin memastikan Piala Malaysia dalam dakapan apabila Zaquan Adha menyempurnakan sepakan penalti selepas Shahrurain dijatuhkan dalam kotak penalti.
Kelantan mendapat gol saguhati menerusi sepakan percuma cantik kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-91.
Namun ia sudah terlambat untuk mengubah nasib Kelantan yang terpaksa akur untuk muncul naib juara Piala Malaysia 2009.
Tags: Final, Juara, Kelantan, Negeri Sembilan, Piala Malaysia