KERAJAAN Negeri Kelantan mengambil keputusan melupuskan tunggakan hutang cukai hiburan dipungut melalui jualan tiket perlawanan bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berjumlah lebih RM198,000 sejak 2003.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini, setelah mengambil kira rayuan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa.
Di bawah Enakmen Cukai Hiburan 1953, kerajaan negeri mengenakan cukai hiburan sebanyak 5 peratus terhadap mana-mana jenis pertandingan sukan membabitkan binatang atau manusia, katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, semalam.
“Berikutan itu, KAFA tidak perlu lagi membayar hutang lapuk melalui kutipan tiket bola sepak sejak 2003 hingga semalam yang berjumlah lebih RM198,000,” katanya. Katanya, pada 2003, Kafa menanggung hutang cukai hiburan yang dikenakan ke atas kutipan tiket perlawanan bola sepak berjumlah RM88,806 dan hanya membayar RM15,223 sehingga akhir tahun berkenaan.
Abdul Fatah berkata, keputusan melupuskan hutang cukai itu sejajar dengan hasrat pembangunan sukan negeri yang mantap. - Metro
Tags: Exco Kelantan, Kelantan, Kerajaan Kelantan, Liga Super