Selepas kejayaan menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan sabtu lepas, Kelantan kembali ke landasan yang tepat untuk terus memberi saingan kepada Selangor dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini.
Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ternyata cukup gembira dengan kemenangan itu setelah Kelantan dipaksa ‘ketinggalan’ satu gol pada babak pertama.
Menurut Sathia Kelantan sebenarnya mampu memperoleh lebih daripada tiga gol pada perlawanan itu berdasarkan persembahan pada babak kedua.
Tanpa berselindung, B Sathianathan memuji persembahan beberapa pemain gantian seperti Hairuddin Omar, Khairan Eroza Razali dan Cik Hisamuddin Hassan selain Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang diturunkan sepenuh masa pada perlawanan itu.
“Mereka memanfaatkan peluang yang ada walaupun diturunkan sebagai pemain gantian. Sesuatu yang anda harus tahu bahawa pemain simpanan yang kita ada mempunyai keupayaan yang seimbang dengan pemain yang berada di dalam kesebelasan utama.
“Kita mempunyai Norshahrul Idlan (Talaha) yang mengetuai senarai penjaring gol terbanyak Kelantan, tetapi itu tidak bermakna kita harus bergantung kepada dia seorang sahaja untuk menjaringkan gol.
“Pemain-pemain lain harus mengambil tanggungjawab yang sama, dan saya berpuas hati apabila ketiga-tiga gol pada perlawanan malam semalam dijaringkan pemain yang berbeza,” katanya.
Namun tugas Kelantan pada malam ini lebih getir walau pun prestasi Perak ketika ini agak turun naik dan tidak konsisten.
Sathia turut mengakui Perak sebenarnya sebuah pasukan yang kuat berdasar kepada barisan pemain berbakat yang dimiliki skuad Seladang itu.
“Perak sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki ramai pemain yang berbakat serta semangat juang yang kental dalam setiap perlawanan yang mereka hadapi.
“Jika mahu menewaskan mereka, pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik dan harus diingat mereka pernah mengikat kita dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pusingan pertama di Ipoh Januari lalu,” katanya.
Mengenai barisan pemain malam ini, Kelantan mendapat suntikan semangat tambahan apabila ketua pasukan, Indra Putra yang digantung satu perlawanan kembali semula ke dalam kesebelasan utama.
“Kehadiran semula Indra daripada penggantungan merupakan satu tonik buat pasukan. Saya yakin para pemain akan kembali bersemangat untuk turun bertemu Perak malam ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kelantan tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan kental, S Subramaniam yang digantung satu perlawanan.
“Subramanian tidak akan diturunkan akibat mengumpul tiga kad kuning semasa perlawanan dengan Pulau Pinang, Sabtu lalu. Ini bukan satu masalah bagi kita.
“Tempat beliau akan diambil oleh Rizal Fahmi yang akan bergandingan bersama Azizi (Mat Rose), Daudsu (Jamaludin ) dan Mohd Farisham (Ismail). Saya yakin dia (Rizal) mampu memberikan aksi yang terbaik,” ujarnya.
Tags: Kelantan, Kelantan-Perak, Liga Super, Perak, Prebiu
[…] liga-m.sokernet.com […]