Sunday, 14/04/2013


Kelantan mula tunjuk taring

Published on January 14, 2010 by   ·   No Comments

SELEPAS gagal memungut mata penuh ketika bertandang ke Kuala Terengganu Sabtu lepas, Kelantan tidak lagi mengulangi kesilapan sama ketika melayan kunjungan Johor di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, malam tadi.

Berbekalkan sokongan padu peminat setia yang memenuhi segenap ruang stadium, Kelantan tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan jaringan.

Dua minit perlawanan bermula, pasukan pelawat mula terasa bahang apabila gawang mereka sudah pun bocor. Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli merembat kencang umpanan Badhri Radzi yang berpunca daripada tendangan sudut dari sebelah kiri pintu gol Johor untuk gol pembukaan tuan rumah.

Bagaimanapun, Kelantan selepas itu seolah-olah tidak bermaya yang disifatkan B Sathianathan sebagai ‘terlena seketika’ sehingga pemain Johor bangkit mengasak ke kubu Kelantan.

Seminit sebelum babak pertama tamat, Akmal Rizal dijatuhkan penjaga gol Johor, Shaharuddin Kadir dalam kotak penalti namun pengadil membuat keputusan mengejut apabila Akmal pula yang dipersalahkan.

Sebagaimana babak pertama, aksi selepas rehat juga bermula rancak. Empat minit perlawanan bersambung, tuan rumah sekali lagi menghukum benteng pelawat.

Bermula dengan sepakan percuma dari tengah padang, Mohd Badhri Radzi menggegarkan gawang Johor dengan rembatan voli cantik untuk gol kedua Kelantan.

Gol itu seperti memulihkan semangat Kelantan dengan menggandakan asakan sehingga Indra Putra berjaya menambah gol ketiga untuk Kelantan dengan tandukan menarik selepas rembatan kencang Mohd Badhri muntah pada minit ke-57.

Johor hanya beberapa kali mengasak ke kubu Kelantan pada babak kedua dan penyerang Johor, Rosaiful Nizam gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Kelantan terus garang namun beberapa percubaan gagal disempurnakan Indra Putra, Hairuddin Omar, Akmal Rizal dan pemain gantian, Norshahrul Idlan Talaha.

Sejurus perlawanan berakhir, jurulatih Kelantan B Sathianathan berkata, tiga gol sudah memadai buat Kelantan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun banyak peluang gagal disempurnakan anak buahnya.

Katanya, Kelantan bernasib baik apabila Johor gagal memecah kebuntuan ketika pemain Kelantan beraksi hambar selepas mendapat gol awal.

”Saya berpuas hati dengan prestasi pemain yang menguasai sebahagian besar masa permainan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Johor, Datuk Abdul Aziz Sepian menganggap kekalahan itu bukanlah sesuatu yang patut dikesalkan kerana prestasi anak buahnya menunjukkan peningkatan berbanding dengan prestasi ketika menentang Kedah.

Menurutnya, pasukan Jengking yang dibentuk dalam tempoh seminggu itu perlukan masa untuk menampilkan kekuatan apatah lagi ia rata-rata dibarisi pemain muda dan tidak ternama.

”Serangan daripada Kelantan agak mengerunkan saya, kekuatan benteng termasuk penjaga gol menyebabkan kami tidak kalah dengan jumlah gol lebih besar.

”Kami tidak kecewa dengan kekalahan ini kerana Kelantan dibarisi pemain handalan, apa yang perlu kami buat ialah memperbetulkan kesilapan,” katanya sambil melahirkan rasa kagum dengan semangat penyokong Kelantan yang memenuhi stadium walaupun masih berada di peringkat awal liga.




Related posts

coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News