TAKZIAH buat seluruh rakyat Johor Darul Takzim atas kemangkatan KDYM Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, malam tadi selepas hampir tiga dekad memerintah negeri Johor.
Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam tadi di Hospital Pakar Puteri di Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.
Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.
Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.
Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden Almarhum Sultan Abu Bakar.
Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Baharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.
Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.
Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.
Tags: Johor, Mangkat, Sultan Iskandar, Sultan Johor, Umum