Wednesday, 16/07/2014


Selangor kekal jurang lapan mata

Published on June 2, 2010 by   ·   No Comments

PENDAHULU Liga Super, Selangor mengekalkan jarak lapan mata berbanding pencabar terdekat, Kelantan apabila menewaskan Johor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Juara bertahan Liga Super itu kini mengumpul 53 mata dengan Mohd Amri Yahyah dan Safiq Rahim masing-masing menyumbang satu gol pada minit ke-29 dan 61 manakala gol tuan rumah dijaringkan melalui sepakan penalti L Rajesh pada minit ke-71.

Kelantan pula kekal di tangga kedua dengan mengumpul 45 mata setelah menumpaskan Perak 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammed ke-IV di Kota Bharu.

Mohd Norfarhan Muhammad membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-47 (LIHAT VIDEO) untuk menceriakan penyokong The Red Warriors sebelum Hairuddin Omar (LIHAT VIDEO) meledak gol kedua pada minit ke-90 permainan.

Satu lagi pasukan pantai timur, Terengganu kekal di tangga ketiga walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuan rumah membuka jaringan seawal minit ketiga permainan melalui Rony Harun namun Negeri Sembilan yang juga merupakan juara Piala FA musim ini berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua melalui Abd Halim Zainal pada minit ke-52.

Abdul Hadi Yahaya pula menjadi wira T-Team apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-72 membolehkan kelab dari Terengganu itu menewaskan Perlis 1-0 di Stadium Utama di Kangar.

Skuad bimbingan Dollah Salleh iaitu Pahang terus mempamerkan kebangkitan apabila menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan melalui jaringan tunggal Azammudin Mohd Akil pada minit ke-62.

KL Plus dan Johor FC pula terikat 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya manakala Kedah dan Pulau Pinang terikat tanpa jaringan.

Saingan Liga Super yang berbaki enam perlawanan akan berehat selama sebulan bagi kejohanan Piala Dunia dan Sukan Malaysia di Melaka yang akan berlangsung bulan ini.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News