SAINGAN Liga Super kembali terbuka apabila Kelantan berjaya mengutip mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu sebentar tadi. [LIHAT VIDEO]
Jaringan tunggal Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-75 sudah cukup buat skuad The Red Warriors menggembirakan penyokong setia mereka, sementara itu kejutan berlaku di Ipoh selepas pasukan teratas, Selangor tewas 0-1 - [LIHAT VIDEO] - kepada Perak di Ipoh.
Kelantan kini mengutip 48 mata untuk kekal di tangga kedua manakala Selangor masih gah di tangga teratas dengan 53 mata, namun perbezaan lima mata itu tentunya kedudukan yang belum selamat buat skuad bimbingan K Devan.
Apatah lagi kedua-dua pasukan akan bertemu Sabtu ini di kemungkinan bakal memberi bayangan sama ada Selangor mampu mengekalkan mahkota Liga Super yang dimenangi tahun lalu atau pasukan Kijang berjaya mencipta sejarah dalam arena bola sepak Malaysia.
Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menewaskan Johor FC 4-0 dengan K. Rajan membuka jaringan pada minit ke-41, disusuli gol Marzuki Yusof empat minit kemudian
Separuh masa kedua bersambung dengan Abdul Manaf Mamat menjaringkan gol ketiga pada minit ke-77 dan Mohd. Ashaari Shamsuddin menyumbangkan gol keempat dua minit kemudian.
Di Stadium Utama, pasukan tuan rumah, Perlis tewas tipis 0-1 kepada KL Plus apabila Mohd. Nizaruddin Yusof menjaringkan gol tunggal hasil tandukan pada minit ke-44.
Turut mencatat kemenangan ialah Johor yang mengenepikan pasukan Pahang 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, manakala T-Team tidak menghadapi masalah membelasah Pulau Pinang 6-1 di Stadium Batu Kawan.
Di Stadium Darul Aman, Kedah dan Kuala Lumpur berkongsi mata selepas terikat tanpa jaringan.
Tags: Kelantan, Kelantan-Negeri Sembilan, Liga Super, Negeri Sembilan