Wenger kekal optimis juara EPL
MESKIPUN mencatat keputusan seri buat kali kedua berturut-turut, Arsene Wenger tetap optimis dengan peluang Arsenal untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
Awal pagi semalam, Arsenal sekadar seri 3-3 dengan Tottenham Hotspur dan keputusan itu menyebabkan kedudukan skuad The Gunners di tangga kedua telah dipintas Chelsea yang menewaskan Birmingham 3-1 dalam perlawanan berasingan.
Pada aksi di White Hart Lane, Arsenal selesa mendahului 3-1 sebelum akhirnya membenarkan tuan rumah menjaringkan dua gol untuk mengikat kedudukan.
Ia sekali gus menyebabkan Arsenal kini tercicir enam mata di belakang pendahulu, Manchester United.
“Saingan masih terbuka. Kami perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan berjuang sedaya upaya.
“Kami masih kekal konsisten dengan 16 perlawanan tanpa kalah tetapi kami telah kehilangan mata akibat terlalu banyak mencatat keputusan seri.
“Itulah yang perlu diubah pada baki lima perlawanan terakhir kami nanti,” kata Wenger.
Ia merupakan kali kedua Arsenal mendahului Tottenham dengan dua gol musim ini tetapi akhirnya gagal mencatatkan sebarang kemenangan.
“Chelsea kembali dalam perebutan. Mereka akan bertemu United dan Tottenham selepas ini. Jadi saya anggap peluang masih terbuka untuk semua,” tegas Wenger.
Pada aksi awal pagi semalam, Arsenal mendahului seawal minit keempat menerusi Theo Walcott sebelum Tottenham menyamakan kedudukan hasil jaringan Rafael van der Vaart tiga minit kemudian.
Samir Nasri dan Robin van Persie melebarkan kedudukan 3-1 buat Arsenal sebelum Tom Huddlestone merapatkan jurang 3-2 sebelum waktu rehat.
Gol penyamaan Tottenham diperoleh menerusi sepakan penalti van der Vaart pada minit ke-71.
Luahan Perasaan