Sindrom pecat hambat Villa-Boas
- Newcastle vs Chelsea
- LIVE Astro 812, 8.45 malam
MALAM ini berdepan Newcastle di St. James Park, pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas sedar yang pasukannya tidak boleh lagi berterusan tewas atau kedudukannya di Stamford Bridge bakal dinilai oleh pemiliknya, Roman Abramovich.
Selepas empat kali kalah dalam tujuh perlawanan terakhir, air muka Villas-Boas dalam beberapa perlawanan sebelum ini terutama ketika kala 0-2 kepada Liverpool dalam Piala Liga jelas terlalu resah.
Akibat prestasi hambar yang ditunjukkan Chelsea, sudah ada pihak yang berkata, dia mempunyai masalah dengan para pemain utama skuad itu yang mempunyai umur hampir sebaya dengan dirinya namun dinafikan pengurus berusia 33 tahun dari Portugal itu.
Tetap mempertahankan kedudukannya masih selamat, Villas-Boas berkata, dia yakin akan terus di London walau apa pun yang terjadi ketika berdepan Manchester City, Tottenham dan Valencia pada bulan ini.
Jika diperhalusi, masalah utama Chelsea adalah kegagalan membawa masuk seberapa ramai pemain muda untuk mengimbangi pemain-pemain bintang yang semakin dimamah usia dalam skuad itu seperti Frank Lampard, John Terry, Nicolas Anelka dan Didier Drogba, malahan gagal mendapatkan pengganti setanding Michael Essien di bahagian tengah.
Hanya Juan Manuel Mata dan Daniel Sturridge, dua pemain muda yang dilihat menyerlah dalam pasukan Chelsea sementara Fernando Torres dan Raul Meireles masih gagal menghadirkan sebarang impak yang diharapkan.
Chelsea perlu belajar dari Manchester United dan Arsenal yang melakukan pelaburan bijak membawa masuk seberapa ramai pemain muda berbakat, namun dalam masa sama diimbangi dengan kehadiran pemain berpengalaman.
Namun, dalam soal ini, Villas-Boas tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Dia umpama mewarisi masalah yang dibawa oleh skuad pada musim lalu kerana hanya baru dapat membawa masuk beberapa pemain muda seperti Romelu Lukaku dan Oriel Romeu.
Masalah sebenarnya berpunca daripada pengurusan tertinggi kelab dari London Barat itu yang mudah memecat jurulatih jika gagal memberikan sebarang trofi dan dijangka sindrom sama akan berterusan pada musim ini.
Pada hemat penulis, Chelsea seharusnya wajar mengekalkan khidmat Carlo Ancelotti.
Masa semakin suntuk kepada Villas-Boas, adakah dia mampu mencari tiga mata ke atas Newcastle yang mengejutkan ramai pihak pada musim ini selepas berada di tangga keempat liga, jawapannya penulis melihat ia satu perkara yang sukar.
Walaupun tidak pernah mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir dengan Chelsea, Newcastle atau dikenali sebagai Magpies mempunyai ramuan pada malam ini untuk bergelar pemenang sebagai hadiah istimewa kepada mendiang Gary Speed. — Utusan Malaysia
~ Newcastle vs Chelsea ~
Pingback: Video Chelsea vs Manchester City [EPL 2011/2012] « Bachelor Degree Online Programs