Rekod Manchester United dilebur kelab tercorot
REKOD 29 perlawanan tanpa kalah Manchester United akhirnya dileburkan oleh lawan yang tidak diduga, kelab tercorot Liga Perdana England, Wolves semalam.
Namun, sejurus kalah 2-1 kepada lawan yang telah lama mendiami zon penyingkiran itu, pengurus United, Alex Ferguson pantas melaungkan amaran, pasukannya akan bangkit dan mahu menjadikan musuh berjiran, Manchester City sebagai mangsa kebangkitan.
United yang masih kekal menerajui liga dengan kelebihan empat mata akan berdepan City dalam pertarungan yang disifatkan Ferguson sebagai “perlawanan amat besar” di Old Trafford, Sabtu ini.
Kekalahan kepada Wolves semalam melebur rekod 29 perlawanan tanpa kalah yang dipegang kelab itu sejak April lalu, namun mereka bernasib baik tidak dihambat lebih rapat oleh Arsenal yang turut bernasib malang apabila seri 4-4 dengan Newcastle biarpun mendahului 4-0 kelmarin.
“Ia (menentang City) akan menjadi pertarungan yang hebat dalam usaha kami untuk bangkit daripada kekalahan. Perlawanan yang sangat besar. Kami harus bersiap sedia menghadapinya.
“Malang sekali beberapa pemain utama kami terpaksa terlibat dalam perlawanan antarabangsa pada pertengahan minggu ini, pada saya ia sesuatu yang gila tetapi kami kena menerimanya.
“Kami punya ramai pemain lain yang tidak terlibat dengan perlawanan antarabangsa dan mereka akan bermain hujung minggu ini. Kami perlu mempertimbangkan pemain-pemain yang keluar beraksi (untuk skuad kebangsaan) dalam pertemuan dengan City kerana perlawanan akan berlangsung tengah harii,” ujar Ferguson.
Ferguson mengakui agak terganggu memikirkan tentang prospek pasukannya untuk mengharungi baki Liga Perdana selepas menyaksikan rekod tanpa kalah lebur kepada pasukan kerdil seperti Wolves di Molineux.
“Sudah tentu kami kecewa. Selepas sekian lama melakukan perkara yang membanggakan, tetapi hari ini (semalam) pada babak kedua, kami gagal mengatasi lawan,” katanya lagi.
Ferguson percaya, pasukannya membazirkan banyak peluang pada babak pertama dan gagal menyesuaikan diri dengan permukaan padang yang disifatkan sebagai ‘sukar’ menyebabkan mereka jarang dapat mengancam penjaga gol Wolves, Wayne Hennessey di separuh masa kedua.
Memburukkan lagi keadaan, United kehilangan tonggak pertahanan, Rio Ferdinand yang diketepikan daripada perlawanan semalam akibat kecederaan betis ketika latihan.
Malah dia juga terlepas pertemuan antarabangsa melibatkan England menentang Denmark, pertengahan minggu ini selain mungkin terlepas aksi Liga Juara-Juara menentang Marseille pada 23 Februari.
Dalam perlawanan semalam, Wolves mengharungi hari menakjubkan selepas memperoleh gol kemenangan menerusi pemain pertahanan, George Elokobi dan Kevin Doyle, biarpun United terlebih dulu membuka jaringan hasil rembatan kaki kiri Nani di awal permainan.
United sudah terbayang untuk mencatat kemenangan ke-30, sekali gus mengatasi rekod 29 perlawanan tanpa kalah yang dilakukan mereka ketika merangkul kejuaraan treble pada 1998-1999, sebaik Nani membuka jaringan ketika perlawanan baru tiga minit dimulakan.
Bagaimanapun jaringan itu tidak memberi sebarang tekanan kepada Wolves, sebaliknya tuan rumah semakin agresif dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 selepas Elokobi yang tidak dikawal, menanduk kencang menewaskan penjaga gol, Edwin van der Sar.
Wolves menceriakan penyokong mereka apabila Doyle memastikan kemenangan bersejarah dipahat dengan menanduk bola ke penjuru pintu gol United lima minit sebelum tamat babak pertama.
Kemenangan bagaimanapun tidak merubah kedudukan Wolves yang kekal menghuni tangga tercorot liga dengan 24 mata. - AFP/Utusan Malaysia
Luahan Perasaan