Manchester United, Liverpool berentap lagi
Manchester United vs Liverpool
EPL 11 Februari 2012
Old Trafford, 8.45 mlm
FOKUS pastinya terarah kepada Patrice Evra dan Luis Suarez apabila Manchester United dan Liverpool berentap pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, esok.
Ia bakal menjadi pertembungan pertama kedua-dua musuh ketat itu sejak insiden Suarez menghamburkan kata-kata penghinaan perkauman ke atas Evra di Anfield Oktober lalu, yang menyebabkan Suarez digantung lapan perlawanan.
Suarez kembali beraksi apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Liverpool seri tanpa jaringan dengan Tottenham Isnin lalu.
Menjelang pertembungan ‘panas’ esok, Evra menambah kehangatan apabila berkata dia tidak akan bersalam dengan Suarez.
Pertembungan esok pastinya menjadi perlawanan paling sengit di antara dua musuh ketat dalam Liga Perdana Inggeris, aksi yang ditayangkan di lebih 200 negara dengan anggaran 900 juta penonton.
Perhatian pastinya sebelum perlawanan dengan kamera akan terarah sama ada kedua-dua pemain akan bersalam.
FA England berkata, sesi bersalaman sebelum perlawanan akan dilangsungkan di Old Trafford esok.
Ketua Eksekutif Persatuan Pemain Profesional England berkata: “Ia adalah peluang untuk sukan bola sepak membuktikan ia boleh mengatasi isu perkauman,”.
Namun siapa yang menguasai padang mampu menjadi kunci kemenangan, sama ada ia akan menjulang United mengatasi pendahulu Manchester City di tangga teratas liga sekurang-kurangnya sehingga Ahad atau memberikan Liverpool menghampiri kelompok empat teratas.
Liverpool mengalahkan United pada pusingan keempat Piala FA 10 hari lalu, ketika Suarez masih menjalani penggantungan.
Namun Liverpool bakal mendapati United semakin bersemangat apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 di Chelsea untuk seri 3-3.
Ia membolehkan United mengumpul 55 mata, dua mata di belakang City yang akan menentang Aston Villa pada Ahad.
Luahan Perasaan