Manchester United aibkan Arsenal 8-2

Manchester United 8-2 Arsenal

DUA pasukan Manchester, Manchester United dan Manchester City unggul dalam pertembungan menentang kelab London semalam apabila membelasah lawan masing-masing dengan jaringan besar, sekaligus meletakkan diri mereka selaku pilihan merangkul gelaran Liga Perdana musim ini.

Penyandang juara, United menambah derita Arsenal menerusi kemenangan besar 8-2 di Old Trafford hasil ledakan hatrik Wayne Rooney, dua gol daripada Ashley Young dan Nani, Park Ji-Sung serta Danny Welbeck masing-masing tidak ketinggalan menyumbat satu gol.

Terdahulu, City pula membenam Tottenham Hotspur 5-1 di White Hart Lane. Edin Dzeko menjadi pemain pertama menyumbat empat gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini manakala Samir Nasri mencipta gerakan untuk dua gol pembukaan dalam penampilan pertamanya ketika membantu Manchester City membelasah Tottenham Hotspur 5-1 di White Hart Lane, semalam.

Ini adalah kemenangan ketiga berturut-turut yang dicatat City musim ini, sekali gus membolehkan skuad bimbingan Roberto Mancini itu terus menerajui liga dengan mengumpul sembilan mata maksimum dan menjadikan pasukan Eastland itu sebagai calon pilihan untuk mencabar kejuaraan Liga perdana buat kali pertama.

Bagi Spurs, musim baru mereka terus huru hara selepas menerima kekalahan besar kedua berturut-turut dalam tempoh seminggu. Isnin lalu, anak-anak buah Harry Redknapp itu dibelasah jiran City, Manchester United 3-0 di Old Trafford.

Semalam, Mancini menurunkan bintang tengah Perancis, Nasri buat kali pertama dan bekas tonggak Arsenal itu membuat penampilan cemerlang dengan mencipta gerakan untuk dua gol pertama yang disempurnakan Dzeko.

Nasri yang melengkapkan perpindahan ke Stadium Etihad dari Arsenal, Rabu lalu melakukan hantaran silang kepada Dzeko yang menolak bola dengan kaki kanan untuk gol pembukaan pada minit ke-35.

City tidak menunggu lama untuk melebarkan kedudukan 2-0, sekali lagi hasil gerakan cantik Nasri dari sebelah kiri kawasan lawan yang ditanduk deras oleh Dzeko, menumpaskan penjaga gol Spurs, Brad Friedel buat kali kedua pada minit 41.

Amukan City tidak mampu dibendung lagi sebaik separuh masa kedua bermula apabila Dzeko melengkapkan hatrik dengan menyempurnakan gerakan cantik yang bermula dari hantaran Sergio Aguero kepada Yaya Toure pada minit ke-55 untuk kedudukan 3-0.

Lima minit kemudian, giliran Aguero pula memahat nama sebagai penjaring apabila pemain antarabangsa Argentina itu menewaskan pertahanan lawan, Michael Dawson dan melepaskan rembatan ke penjuru pintu gol lawan. – AGENSI

Younes Kaboul memberi sedikit harapan kepada tuan rumah untuk bangkit apabila merapatkan kedudukan 4-1 pada minit ke-68 apabila diberi ruang yang banyak untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol, Joe Hart.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak banyak membantu kelab London itu untuk mempamer kebangkitan depan penyokong sendiri, sebaliknya Dzeko menghukum kealpaan pertahanan tuan rumah dengan merembat gol kelima pada masa kecederaan hasil gerakan cantik dari Gareth Barry.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>