Liverpool, City ibarat singa luka
Liverpool vs Manchester City
27 November 2011, Anfield
TIGA keputusan seri berturut-turut di tempat sendiri menyedarkan Liverpool untuk bangkit apabila turun di Anfield sekali lagi hari ini, manakala bagi Manchester City, mereka ibarat ‘singa luka’ dan dibayangi kekalahan 2-1 kepada Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu.
Pertembungan dua gergasi Liga Perdana Inggeris ini ibarat pertarungan dua singa luka. Liverpool terdesak untuk tidak kehilangan mata lagi di tempat sendiri bagi mengejar kedudukan empat terbaik.
Bagi City, kemenangan bukan saja mengembalikan keyakinan pemain, malah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga. Selepas harapan untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara semakin tipis, mereka tidak harus melepaskan peluang untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana.
City yang telah melakar 11 kemenangan dan seri sekali dalam 12 perlawanan musim ini yakin mampu bangkit di Anfield, malah pengurus pasukan, Roberti Mancini menegaskan, pasukannya beraksi baik ketika bertemu Napoli dengan menguasai bola lebih 30 peratus, selain melakukan 18 percubaan tepat ke pintu gol berbanding 11 yang dimiliki pasukan lawan.
“Perlawanan Ahad ini (hari ini) amat sukar kerana Liverpool mungkin ketinggalan 11 atau 12 mata di belakang kami tetapi mereka memiliki skuad yang bagus untuk memenangi Liga Perdana. Mereka sebuah pasukan yang amat kuat.
“Skuad yang dimiliki Liverpool, Arsenal dan Chelsea sekarang, mampu bersaing merebut kejuaraan liga. Amat penting kami bermula dengan baik dalam aksi Liga Perdana. Kami sedar perlawanan ini amat sukar tetapi saya harap kami mampu meneruskan rentak kemenangan dan menjaringkan gol,” katanya.
Mancini bakal berdepan Craig Bellamy buat pertama kali sejak pemain Wales itu meninggalkan Stadium Etihad dengan perpindahan percuma pada musim panas lalu. Bellamy, 32, menghabiskan musim lepas dengan dipinjamkan ke kelab Liga Kejuaraan (divisyen dua), Cardiff City selepas bertelingkah dengan Mancini.
Sementara itu bagi pengurus Reds, Kenny Dalglish, tiga keputusan seri berturut-turut di Anfield - bertemu Manchester United, Norwich City dan Swansea boleh diubah jika pasukannya memperbaiki permainan. “Persembahan di tempat sendiri patut memberi keputusan lebih baik. Peminat berada di pihak kami, mereka menjadi inspirasi dan kami sepatutnya lebih bersemangat di Anfield.
“Bagaimanapun ada kalanya, kami bermain baik tetapi keputusan tidak menceritakan apa yang kami lalui,” ujar Dalglish.
Tonggak pertahanan yang menjaringkan gol kemenangan ketika menumpaskan Chelsea 2-1 di Stamford Bridge, minggu lalu, Glen Johnson berkata, selagi Liverpool mampu mengutip beberapa mata di tempat sendiri dan meneruskan aksi baik di tempat lawan, mereka tidak jauh ketinggalan.
“Kami tidaklah bermain terlalu teruk di tempat sendiri. Kami mencipta banyak peluang hebat, cuma tidak menyempurnakan separuh daripadanya, itu yang merosakkan permainan. Apa pun, esok adalah hari baru, kami mahu merubah keadaan,” kata Johnson. — Utusan Malaysia
Luahan Perasaan