Didier Drogba masih berbisa
JOSE Mourinho percaya persembahan dinamik Didier Drogba ketika Chelsea menang 3-0 ke atas Tottenham semalam membuktikan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mampu mempertahankan keampuhan mereka sehingga ke penghujung perebutan kejuaraan musim ini.
Pasukan Mourinho mengekalkan kelebihan enam mata di tempat teratas liga, terima kasih kepada penyerang Ivory Coast, Drogba yang meledak jaringan kelimanya musim ini di Stamford Bridge.
Prestasi baik pemain itu menjadikan ketiadaan Diego Costa tidak dirasai oleh Blues.
Drogba, 36, membuktikan dia masih berbisa di sebalik usianya dengan membantu Eden Hazard membuka jaringan pada minit ke-19.
Dia turut membuat jaringan empat minit kemudian sebelum Loic Remy menambah gol ketiga pada minit ke-73 untuk memastikan Chelsea menang tujuh kali berturut-turut di laman sendiri.
Mourinho yang pertama kali membawa Drogba ke barat London dari Marseille pada 2004, memberikan pujian istimewa kepada legenda Blues itu selepas dia menunjukkan prestasi yang membuktikan Chelsea memiliki cukup ketajaman sekiranya Costa yang sering cedera gagal memainkan peranannya sebagai penyerang.
Pengurus Chelsea itu mengakui, pasukannya harus mempunyai jentera yang cukup dalam kesediaan membantu Costa yang mudah mengalami kecederaan.
“Sangat luar biasa. Didier seorang pemain berpasukan, antara pemain yang mempunyai mentaliti baik.
“Dia tidak mementingkan diri sendiri dan penyerang yang merendah diri semata-mata untuk berjuang bersama pasukan.
“Dia pernah diletak di bangku simpanan dan masuk pada minit terakhir, tetapi tetap menunjukkan semangat yang sama seperti ketika beraksi daripada kesebelasan utama menentang Tottenham.
“Kami pernah menentang Didier semasa dia di Galatasaray musim lepas.
“Dari situ saya boleh rasakan potensinya masih ada dan jangkaan saya adalah tepat.
“Saya tahu dia boleh menyesuaikan diri dengan baik dari segi mental untuk peranannya sekarang,” kata Mourinho.
Luahan Perasaan