Chelsea, Man City lakar kemenangan bergaya
Chelsea dan Manchester City mencipta kemenangan meyakinkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi yang meningkatkan spekulasi perebutan kejuaraan hanya membabitkan dua gergasi Inggeris itu, musim ini.
Arsenal turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Southampton yang sekali lagi dibantu jaringan tunggal Alexis Sanchez.
Chelsea yang dibimbing Jose Mourinho meneruskan kempen tanpa kalah musim ini dengan kelebihan enam mata di puncak liga selepas menewaskan musuh tetangga London, Tottenham 3-0.
Gol Chelsea dijaringkan Eden Hazard; penyerang veteran, Didier Drogba dan penyerang gantian, Loic Remy.
Ia kekalahan yang dianggap boleh dijangka buat Spurs yang tidak pernah mencatat kemenangan di Stamford Bridge sejak 1990 dan badi itu berterusan untuk 28 perlawanan.
Sergio Aguero pula mengetuai jentera serangan City dengan meledak dua gol ketika penyandang juara itu mencatat kemenangan 4-1 ke atas Sunderland.
Begitupun, City terlebih dulu ketinggalan menerusi jaringan Connor Wickham pada minit ke-19 sebelum Aguero meledak jaringan penyamaan dua minit kemudian.
Stevan Jovetic kemudian menambah gol kedua City di Stadium of Light itu pada minit ke-39 diikuti jaringan babak kedua Pablo Zabaleta (m55) sebelum Aguero menambah jaringan pada minit ke-71 yang juga gol ke-14 miliknya sepanjang musim ini.
Dengan empat kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, City dilihat seakan sudah melupakan prestasi turun naik yang dicipta di awal kempen dengan meledak 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir.
Sementara itu, penyerang kebangsaan Chile, Sanchez menambah jumlah jaringannya kepada 14 gol dalam 22 perlawanan buat Arsenal musim ini yang membawa Arsenal ke kedudukan keenam liga, tiga mata di belakang pasukan yang ditewaskan, Southampton.
Selain itu, Everton diikat 1-1 di laman sendiri Hull dengan jaringan penyamaan Sone Aluko menafikan kemenangan buat tuan rumah yang mendahului menerusi jaringan Romelu Lukaku.
Pingback: Didier Drogba masih berbisa | Sokernet