City sasar mata penuh di Stamford Bridge
Chelsea vs Manchester City
Siaran Langsung Astro 812
4 pagi Selasa, 13 Disember 2011
PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini amat teruja dengan kunjungan ke Chelsea hari ini, kerana itu adalah peluang terbaik pasukannya untuk menebus kehampaan tersingkir daripada Liga Juara- Juara Eropah.
Malah, Mancini juga menjangkakan penentuan gelaran Liga Perdana Inggeris boleh diketahui dua bulan dari sekarang, justeru kemenangan ke atas kelab besar seperti Chelsea akan meletakkan mereka di landasan yang tepat.
Jurulatih kelahiran Itali itu berjaya meletakkan pasukannya di kedudukan teratas liga dengan hanya dipisahkan dua mata di depan Manchester United selepas penyandang juara itu membenam Wolves 4-1, semalam.
Namun, City, yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan berbanding United, berpeluang menjarakkan lima mata jika menang di Stamford Bridge hari ini.
Malah, kemenangan di barat London juga bakal melebarkan jurang mata kepada 13 di depan Chelsea, pasukan yang sebelum ini dianggap sebagai pencabar kejuaraan.
“Saya fikir ini peluang terbaik kami dan ia merupakan perlawanan penting menentang pasukan besar. Dalam aksi Liga Perdana kami telah bermain dengan cemerlang tetapi musim ini masih panjang.
“Sekarang kami bakal menghadapi dua perlawanan sukar menentang Chelsea dan Arsenal. Selepas itu, kami perlu bermain setiap tiga hari, jadi dua bulan akan datang amat penting.
“Sejak dua minggu kebelakangan ini Chelsea berjaya meningkatkan permainan dan mereka masih sebuah pasukan yang hebat. Ia sesuatu yang menarik menyaksikan dua pasukan kuat bertemu.
“Kami ke sana untuk menang,” kata Mancini.
Sementara itu, pada ketika City tersingkir daripada saingan Eropah, situasi berbeza pula dialami Chelsea yang berjaya layak ke peringkat kalah mati dengan melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas kelab Sepanyol, Valencia.
Kemenangan tersebut membangkitkan semangat kelab London itu sekalipun pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas mengakui kekalahan kepada City bakal menutup peluang untuk memburu gelaran Liga.
“Tiada istilah putus asa, namun 13 mata itu satu jurang yang cukup besar,” kata Villas-Boas.
Luahan Perasaan