Manchester City bersiap hadapi Tottenham

KEMENANGAN 2-0 Manchester City ke atas Valencia di Eastlands, kelmarin, bukan saja sekadar perlawanan persahabatan pra musim tapi lebih mencerminkan persembahan pasukan itu pada masa depan.

Jumlah jaringan tidak relevan kepada lebih 27,000 penonton yang lebih berminat melihat perkembangan barisan baru skuad bimbingan pengurus Roberto Mancini selepas melakukan pelaburan £80 juta (RM401 juta) setakat ini.

Jumlah itu mencecah lebih £100 juta (RM 501 juta) jika James Milner menyertai revolusi pasukan itu dari Aston Villa dan pemain tengah England itu akan meningkatkan kekuatan kepada pasukan yang berpotensi untuk mencabar kejuaraan liga itu.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-28 apabila hantaran lintang pemain baru dibeli dari SV Hamburg, Jerome Boateng ditanduk masuk Gareth Barry selepas penjaga gol Valencia, Miguel Angel Moya tersilap mengagak kedudukan bola.

City menjaringkan gol kedua melalui pemain dipinjamkan di Everton dan Galatasaray pada musim lepas, Jo yang menolak masuk bola dari jarak dekat hasil gerakan dicetus pemain tengah Perancis Patrick Vieira lima minit sebelum perlawanan tamat.

Percubaan Jo turut menggegar palang selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74. Ia adalah jaringan pra musim keempatnya walaupun peminat mengharapkan lebih daripada itu namun mereka tetap menikmatinya.

Semua empat pemain berharga yang baru dibeli, David Silva, Yaya Toure, Aleksandar Kolarov dan Boateng turut bermain dan walaupun Mancini menggunakan 10 daripada 13 pertukaran, City sesekali mempamerkan sentuhan bijak dan semangat kerjasama.

Pemain tengah Ivory Coast, Toure yang beraksi satu jam dinamakan pemain terbaik perlawanan kerana penguasaan permainannya di bahagian tengah manakala pemain antarabangsa Serbia, Kolarov dan pemain pertahanan Jerman, Boateng mempamerkan persembahan mengagumkan pada penampilan pertama.

Ia adalah perlawanan pemanas badan terbaik City setakat ini. Mereka perlu menjadikannya kenyataan untuk tugas lebih serius selepas ini, iaitu mengutip mata Liga Perdana apabila menentang Tottenham Hotspur Sabtu depan.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>