Chelsea bergelut, MU yakin
PERTEMBUNGAN dua musuh seteru antara Chelsea dan Manchester United esok merupakan episod penting di dalam Liga Perdana Inggeris dengan satu misi iaitu mengejar gelaran juara.
Situasi kem Chelsea agak tegang dengan insiden melibatkan Ashley Cole yang dikenakan tindakan disiplin oleh pengurusan tetapi tetap tersenarai di dalam kesebelasan utama.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila trio penyerang Fernando Torres, Nicolas Anelka dan Didier Drogba tidak menampakkan keserasian bersama semasa beraksi.
“Ia adalah tanggungjawab saya untuk memahami corak permainan rakan sepasukan (Anelka-Drogba). Saya cuba membentuk keserasian dan mengetahui kelebihan masing-masing di dalam sesi latihan bersama mereka,” ujar bekas penyerang Liverpool tersebut.
Torres turut mengakui masih bergelut dengan corak permainan 4-3-3 yang dipraktikkan Chelsea berbanding 4-4-2 seperti biasa diguna kelab lamanya.
Di samping itu, Drogba juga mula melahirkan rasa kurang senangnya apabila menyatakan hasrat untuk meninggalkan Stamford Bridge dan mungkin akan kembali bersama kelab lamanya Marseille.
Berbeza dengan Manchester United, ayam tambatan mereka Wayne Rooney mula menunjukkan taringnya selepas menjaringkan gol menarik menerusi aksi akrobatik semasa membenam Manchester City tempoh hari.
Malahan, kemenangan besar dengan jumlah empat gol ke atas Wigan baru-baru ini memberi amaran buat Carlo Ancelotti untuk berwaspada dengan pemain-pemain muda United seperti Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov.
Nemanja Vidic dilihat tidak bermasalah untuk mengekang Torres kerana pengalaman 2009 pastinya memberi pengajaran berguna buat pertahanan Serbia tersebut.
Kelebihan 15 mata yang dimiliki pastinya mahu dilebarkan oleh Alex Ferguson, sekaligus mengecewakan harapan Chelsea untuk merangkul kejuaraan pada musim ini.
“Ia semestinya sukar untuk mengejar United, tetapi perlawanan ini penting untuk masa depan kami,” ujar pengurus dari Itali tersebut.
Kali terakhir United menang di St. Bridge ialah pada 2002 dengan kemenangan 3-0 dan pastinya Ferguson memburu kemenangan untuk selesa mendahului di singgahsana liga sehingga ke penghujung musim.
March 1, 2011 - 11:31 pm
pertemuan 2 ekor syaitan