Van Persie pemain terbaik dunia - Wenger

ARSENE Wenger menganggap Robin van Persie sebagai penyerang terbaik di dunia.

Pengurus Arsenal itu juga yakin van Persie mampu memenangi Anugerah Pemain Terbaik Dunia pada musim hadapan sekiranya dia terus beraksi dengan cemerlang.

Wenger menyuarakan keyakinan tersebut selepas van Persie meledakkan gol pertama dan membantu rakan sepasukan menyumbat gol kedua serta ketiga skuad The Gunners menewaskan West Bromwich Albion 3-0 pada aksi Liga Perdana England kelmarin.

Kemenangan itu turut membantu Arsenal menduduki tempat ketujuh selepas berkongsi 19 mata dengan Tottenham Hotspur (kelima) dan Liverpool (keenam), tiga mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.

Van Persie telah menjaringkan lapan gol sepanjang enam perlawanan dan Wenger menegaskan pemain itu berhak untuk berada dalam senarai lima penyerang terbaik dunia.

Wenger berkata, penyerang Barcelona, Lionel Messi akan memenangi anugerah tersebut musim ini tetapi ia akan menjadi milik van Persie tahun depan.

“Dia (van Persie) adalah penyerang bertaraf dunia. Ketika saya kecil, terdapat tiga sistem di Jerman iaitu bertaraf kebangsaan, antarabangsa dan dunia.” kata Wenger.

“Di peringkat dunia, mereka mempunyai empat atau lima penyerang terbaik yang memiliki status itu tetapi saya meletakkan van Persie dalam senarai tersebut.

“Sudah tentu, Messi akan memenangi Anugerah Pemain Terbaik Dunia dan dia memang layak untuk memenanginya kerana dia memiliki segala-galanya.

“Tetapi biar van Persie menikmati saingan musim ini dan kami boleh membuat penilaian mengenainya. Kami tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan kepadanya.” ujarnya.

Arsenal berjaya memperbaiki kedudukan selepas hampir menghuni zon penyingkiran setelah tewas 2-8 kepada Manchester United pada awal musim lalu.

Kebangkitan itu banyak dibantu oleh van Persie tetapi gerakan menarik ketika membantu Thomas Vermaelen dan Mikel Arteta untuk gol kedua serta ketiga Arsenal pada aksi menentang West Brom kelmarin turut menggembirakan Wenger. — Kosmo

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>