Blackpool aibkan Liverpool 2-1
Liverpool tewas di kandang sendiri kepada ‘pendatang baru’
AKSI Liverpool musim ini bertukar ‘daripada teruk menjadi parah’ selepas diaibkan 1-2 oleh pendatang baru Liga Perdana England, Blackpool dan berada di zon penyingkiran malam tadi.
Kekalahan terbaru meletakkan skuad Reds di tangga ketiga tercorot dengan hanya mengumpul enam mata daripada enam perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan tumpuan menyaksikan Chelsea menewaskan Arsenal 2-0 bagi mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga dengan memungut 18 mata
Liverpool yang beraksi di Anfield tersentak dengan jaringan pertama pelawat hasil sepakan penalti Charlie Adam sebelum penyerang, Luke Varney menambah gol kedua pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Skuad bimbingan Roy Hodgson kehilangan penyerang, Fernando Torres yang mengalami kecederaan pangkal paha, sebelum aksi mereka bertambah baik selepas rehat dan mengurangkan defisit gol melalui tandukan Sotirios Kyrgiokos pada minit ke-53.
Keputusan itu menyaksikan mereka masih belum mencatat kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.
Chelsea pula tidak menunjukkan sebarang kegusaran menentang pasukan bimbingan Arsene Wenger apabila mendahului 1-0 hasil jaringan Didier Drogba pada minit ke-39 selepas menerima hantaran lintang pendek Ashley Cole di dalam petak penalti.
Arsenal cuba memberi tentangan dengan beberapa percubaan merbahaya namun pada minit ke-85 pemain pertahanan Chelsea, Alex menjadikan kedudukan selesa buat Blues hasil sepakan percuma yang diambilnya.
Manchester City pula melonjak ke tangga kedua memintas Manchester United selepas menang 2-1 ke atas Newcastle United, selepas Carlos Tevez menjaringkan gol pertama melalui sepakan penalti pada minit ke-18.
Rakan senegara Tevez, Jonas Gutierrez menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-24 sebelum Adam Johnson muncul wira City hasil gol kemenangan pada minit ke-75.
Luahan Perasaan