Real Madrid hampir tersungkur

PEMAIN gantian, Pedro Leon, menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk menyelamatkan Real Madrid seri 2-2 dengan AC Milan di San Siro pada saingan Liga Juara Eropah.

Bagaimanapun, keputusan itu sudah memadai untuk menjamin tempat gergasi Sepanyol itu di pusingan kalah mati.

Gonzalo Higuain meletakkan Real di hadapan dalam separuh masa pertama tetapi dua gol menyemarakkan semangat pasukan tuan rumah.

Tetapi Leon memastikan Real tidak pulang dengan tangan kosong dan menyelamatkan jurulatihnya, Jose Mourinho, daripada mengalami kekalahan sekembalinya ke San Siro, di mana beliau memimpin Inter Milan selama dua musim.

Sedang Real menjamin tempat ke pusingan kedua dengan memungut 10 mata daripada empat perlawanan, Milan menduduki tangga kedua Kumpulan G ini dengan mengutip lima mata selepas Ajax Amsterdam tewas 1-2 di padang Auxerre.

Mourinho sempat mengadu gol kedua Inzaghi seharusnya tidak disahkan kerana off-side.

“Mereka memperoleh gol pertama selepas Pepe terjatuh dan gol kedua mereka pula jelas offside,” jurulatih dari Portugal itu memberitahu Sky Sport.

“Tetapi saya tidak mahu bercakap tentang Pepe mahupun pengadil, kami bermain begitu baik dan gol penyamaan Leon memang wajar.”

Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri, memuji kegigihan anak buahnya.

“Saya fikir seri adalah keputusan yang adil, mereka bermain lebih baik dalam separuh masa pertama tetapi kami respons dengan baik selepas rehat dan ini merupakan kekuatan kami.”

Real meneruskan kecemerlangan sebagaimana kemenangan 2-0 dalam pertemuan pertama di Bernabeu, dengan membuka banyak peluang jaringan.

Higuain menyaksikan percubaannya ditampar keluar oleh Christian Abbiati sementara tandukan Pepe melewati palang.

Angel Di Maria merembat bola melepasi benteng Milan tetapi berjaya menyelamatkannya dan percubaan kedua bintang Argentina itu tersasar.

Pengadil final Piala Dunia, Howard Webb, berusaha keras mengawal permainan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini, termasuk selepas Cristiano Ronaldo dijatuhkan.

Real hampir membuka jaringan pada minit ke-20 tetapi Andrea Pirlo dua kali berturut-turut menanduk bola di garisan gol - pertama menerusi tandukan Higuain dan kemudian tendangan voli Di Maria.

Kevin-Prince Boateng membuat umpanan baik kepada Ibrahimovic yang hanya berdepan dengan Iker Casillas tetapi percubaan lemah penyerang Milan itu terkena kaki penjaga gawang Real.

Pada minit ke-37, giliran Milan pula menyerang dengan Ronaldinho mengumpan bola kepada Ibrahimovic tetapi percubaannya kali ini tersasar.

Real memecahkan kebuntuan pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi Higuain selepas menerima umpanan Di Maria.

Milan memasukkan penyerang veteran 37 tahun, Inzaghi, dan kesilapan benteng Real membuka peluang kepadanya menyamakan kedudukan.

Inzaghi meletakkan Milan di hadapan ekoran kecuaian benteng Real, yang kelihatan akan mengalami kekalahan sehingga gol minit-minit terakhir Leon yang merembat bola menembusi celah kaki penjaga gawang Abbiati.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>