AC Milan berdepan tugas getir sekat Barcelona
AC Milan vs Barcelona
AC Milan memberi bayangan mereka perlu merendah diri ketika melayan kunjungan Barcelona di San Siro dalam saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara, esok.
Selepas menang 2-1 ke atas Roma Sabtu lalu, jurulatih Milan Massimiliano Allegri berkata, hanya terdapat dua cara untuk menghadapi Barcelona.
“Sama ada anda bermain secara bertahan dan kemudian menghambat mereka melalui serangan balas yang mungkin nampak sukar.
“Atau melakukan apa yang biasa kami lakukan di laman sendiri ketika perlawanan peringkat kumpulan, namun kami melakukan beberapa kesilapan,” kata Allegri.
Menjelang perlawanan esok, Allegri lebih berminat untuk menumpukan perhatian pada bahagian serangan pasukannya berbanding pertahanan.
Kedua-dua pasukan pernah bertembung dalam saingan peringkat kumpulan awal musim ini dengan Barcelona mendominasi perlawanan yang berakhir dengan seri 2-2 pada perlawanan di Sepanyol dan menang 3-2 ketika di Itali.
Dalam pada itu, Robinho dan Maxi Lopez yang kembali menyertai latihan selepas kecederaan bakal bergandingan dengan Zlatan Ibrahimovic pada bahagian serangan AC Milan.
Pada bahagian pertahanan lain pula ceritanya apabila pemain utama Thiago Silva tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan.
Ini bermakna Daniele Bonera atau Alessandro Nesta yang baru pulih daripada kecederaan mungkin beraksi bersama Philippe Mexes pada bahagian pertahanan.
Ketua pasukan AC Milan, Massimo Ambrosini mengakui Silva amat penting buat pasukannya apabila menentang Barcelona.
“Saya memohon maaf bagi pihak Thiago Silva kerana ketiadaannya memberi kesan pada kami namun kami perlu laluinya.
“Barcelona adalah pasukan paling bagus di dunia dan anda tidak perlu menjadi ahli silap mata untuk mengetahuinya.
“Kami perlukan pengorbanan semua pemain kerana Barcelona mempunyai banyak senjata,” kata Ambrosini.
Turut tidak dapat beraksi untuk Milan esok ialah bekas pemain Barcelona, Mark van Bommel, Pato dan Antonio Cassano.
Sementara itu, Barcelona turut mempunyai beberapa masalah terutama apabila tidak dapat menurunkan pemain pertahanan Perancis, Eric Abidal dan penyerang Sepanyol, David Villa.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada separuh akhir 2006 yang menyaksikan Barca menewaskan Milan.
Luahan Perasaan