Menobat kelab terbaik Eropah
Final Liga Juara Eropah: Barcelona vs Manchester United
Stadium Wembley, 2.45 pagi Ahad
BARCELONA mesti mengambil pendekatan berhati-hati pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, awal pagi esok kerana Manchester United berpeluang buat kali kedua menundukkan kelab paling terkemuka di Eropah itu.
United yang bangkit meraih dua kejuaraan Liga Juara-Juara ketika mereka dilihat hampir kalah, tenggelam punca berikutan corak permainan hantaran tepat Barca apabila kedua-dua pasukan bertemu di Rome pada 2009, tewas 0-2 dalam perlawanan berat sebelah itu.
Dua tahun berlalu, satu perkara yang pasti di Wembley adalah juara Sepanyol yang menampilkan pemain terbaik dunia Lionel Messi, akan sekali lagi dijangka menguasai dan mengawal bola semahu mereka.
Namun ketika Barcelona kekal unggul secara teknikalnya, tiada siapa boleh menafikan pengurus United, Alex Ferguson akan mengambil iktibar daripada kesilapannya itu.
Dengan penyerang England, Wayne Rooney dan penyerang hebat Mexico, Javier Hernandez antara pemain berbakat dalam barisan berwibawa miliknya, satu kejutan bukan perkara yang mustahil.
“Kami tidak takut dengan Barcelona,” pemain tengah Korea Selatan, Park Ji Sung, sebahagian daripada ahli pasukan yang tumpas kepada Barcelona dua tahun lalu, memberitahu wartawan minggu ini. “Mereka satu daripada pasukan terbaik dunia, tapi kami ada kualiti tersendiri.” United mempunyai kualiti tetapi memerlukan lebih daripada bakat untuk berjaya dalam pertembungan antara dua kelab yang sudah memenangi tiga Piala Eropah dan menariknya, masing-masing merangkul kejuaraan pertama di Stadium Wembley lama.
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola adalah sebahagian daripada pasukan Barca yang muncul juara buat julung kali pada 1992, mencipta kemenangan 1-0 ke atas Sampdoria di gelanggang berhampiran Twin Towers yang terkenal.
United lebih awal mengecap kejayaan memenangi trofi Piala Eropah sulung pada 1968 apabila membelasah Benfica, 4-1 selepas masa tambahan di Wembley.
Dua kemenangan kelab Inggeris selepas itu adalah kejayaan yang bermula daripada situasi yang tidak langsung memberikan mereka sebarang harapan.
Yang pertama hadir di Stadium Nou Camp, Barcelona pada 1999, apabila dua gol minit-minit akhir membolehkan mereka meraih kemenangan sensasi 2-1 ke atas Bayern Munich pada perlawanan yang pada awalnya tidak memihak mereka.
Pada 2008, mereka sekali lagi berada di ambang kekalahan apabila kapten Chelsea, John Terry berpeluang memenangi kejuaraan pada penentuan sepakan penalti di Moscow tetapi dia tergelincir, gagal menjaringkan gol dan memberikan United peluang untuk memenangi Piala Eropah kali ketiga.
Namun mereka gagal menyaingi Barca di Rome tahun berikutnya, ketika Guardiola melengkapkan musim pertamanya mengendalikan kelab itu dengan mengemudi kemenangan ke atas United sekali gus menjuarai tiga piala - La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara.
Jika Barcelona mahu dinafikan kejuaraan Eropah ketiga dalam tempoh enam musim - mereka juga mengalahkan Arsenal pada 2006 di bawah kendalian Frank Rijkaard - United perlu menggunakan peluang mereka sebaik mungkin.
Kualiti pemain tengah Xavi Hernandez dan Andres Iniesta, nadi utama jentera Sepanyol yang memenangi Piala Dunia di Afrika Selatan, memastikan Barca tidak mudah diatasi lawan.
Dengan Messi bakal berleluasa di bahagian tengah serangan, sudah terbayang benteng pertahanan United tidak akan menang tangan.
Pasukan Inggeris itu mempertaruhkan kejituan dua pertahanan tengah, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand manakala Edwin van der Sar yang berusia 40 tahun dan bersara selepas perlawanan itu, perlu menamatkannya dengan persembahan gemilang.
Penjaga gol Belanda itu pastinya sibuk apabila turun menentang pasukan yang memiliki jentera serangan yang sukar dibendung dan layak ke final menerusi laluan paling sukar, mengalahkan musuh tradisi Real Madrid pada dua perlawanan separuh akhir dengan United mudah melepasi Schalke 04.
Messi sudah menjaringkan 52 gol dalam semua pertandingan musim ini dan penjaring gol terbanyak Liga Juara-Juara dengan 11 gol dalam 12 penampilan.
Bintang Argentina itu akan beraksi dalam formasi tiga penyerang di samping Pedro dan David Villa, kedua-duanya anggota skuad Sepanyol yang menikmati kejuaraan Piala Dunia tahun lalu.
Harapan United menebus kekalahan 2009 bergantung kepada keupayaan memanipulasi kelemahan benteng Barcelona yang kadang-kadang kelihatan berkarat.
Rooney kembali beraksi cemerlang selepas mengembalikan keazamannya bermain buat United dan Hernandez, yang diberi jolokan ‘Chicharito’ atau ‘Little Pea’, menikmati musim sulung menakjubkan di kelab Old Trafford itu.
Dengan pemain tengah Wales, Ryan Giggs beraksi sebaik mungkin, di sebalik pendedahan akhbar mengenai kehidupan peribadinya, United akan berasa teruja menjelang perlawanan ulangan awal pagi esok kerana mereka memiliki kelebihan bermain di negara sendiri.
Pemenang akan menjulang Piala Eropah keempat sekali gus menyertai Real Madrid dan AC Milan sebagai juara tiga kali dalam era Liga Juara-Juara yang bermula pada musim 1992-93.
Kemenangan buat Ferguson akan membolehkannya menyamai rekod Bob Paisley dari Liverpool sebagai satu-satunya pengurus menjuarai pertandingan itu tiga kali.
Bagi Guardiola, ia bakal menjadi kejuaraan Liga Juara-Juara kali kedua dalam tempoh tiga musim sebagai jurulatih dan mengesahkan Barcelona satu daripada pasukan terhebat era ini atau sepanjang zaman. - Reuters
Luahan Perasaan