Hadiah Final Liga Juara Eropah RM900 juta
Perlawanan Akhir Liga Juara Eropah 2011
MISI bagi Manchester United dan Barcelona dalam pertembungan final Liga Juara-Juara Eropah, hari ini (awal pagi esok) bukan sekadar mahu mempertahankan maruah masing-masing selaku juara mutlak bola sepak benua tapi ‘memburu wang besar’ di Stadium Wembley.
Juara bagi edisi kali ini akan mengaut hadiah wang dianggarkan 126 juta euro (RM567 juta) manakala barisan yang kalah akan pulang dengan 73 juta euro (RM328 juta) dalam perlawanan dianggap final impian membabitkan dua gergasi tersohor.
Jumlah keseluruhan kira-kira 200 juta euro (RM900 juta) ini juga difahamkan akan mencatat rekod baru sebagai hadiah paling lumayan dalam sejarah bola sepak.
Apa yang pasti final ini bakal menggegar ketika selera besar Wayne Rooney yang bertekad mahu mengatasi reputasi besar milik Lionel Messi dalam final kali ini selepas United tewas 0-2 pada 2009.
Sementara itu, Lionel Messi dan rakan sepasukan akan menerima 650,000 pound (RM3.24 juta) setiap seorang jika berjaya menjuarai Liga Juara-Juara, hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada bonus yang dijanjikan kepada pemain Manchester United.
Kelab gergasi Catalan itu akan mengeluarkan peruntukan besar sehingga 16 juta pound (RM80 juta) untuk semua pemain sekiranya mereka membenam United buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun bagi final Liga Juara-Juara.
Ini bermakna, setiap minit aksi final nanti bernilai 7,000 pound (RM35,000) atau 120 pound (RM600) setiap saat.
Akhbar SunSport difahamkan, jumlah yang akan dibayar kali ini adalah hampir sama dengan ganjaran yang diterima ketika Barca memenangi final Liga Juara-Juara pada 2009.
Apabila Barca mengalahkan United 2-0 di Rome untuk melengkapkan kejuaraan treble dua tahun lalu, seluruh skuadnya menerima habuan sekitar 15.5 juta pound (RM77.4 juta)
Jumlah itu bagaimanapun tidak akan diagih sama rata kerana bintang-bintang utama seperti Messi, Andres Iniesta dan Xavi dijangka menerima habuan lebih sejuta pound setiap seorang.
Pemain simpanan pula menerima sekitar 100,000 pound seandainya Barcelona berjaya merangkul Piala Eropah keempat dalam sejarah kelab itu.
Wayne Rooney dan rakan-rakan pula bakal menjangkakan habuan 350,000 pound seorang kerana United memperuntukkan hanya sembilan juta pound untuk dikongsi seluruh skuad sebagai ganjaran jika menakluki saingan kelab Eropah.
Sementara itu Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menjangkakan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah kali ini akan menjadi perlawanan akhir terbaik sepanjang tempoh 10 tahun.
“Sekarang Barcelona dilihat sebagai sebuah pasukan yang hebat dan Ferguson berpesan kepada pemainnya supaya membuat persediaan rapi kerana mereka akan bertemu dengan sebuah pasukan yang berbeza berbanding dua tahun lalu,” katanya.
Luahan Perasaan