Neymar bantu Brazil atasi Scotland 2-0
PENYERANG remaja, Neymar menjaringkan kesemua gol Brazil dalam kemenangan 2-0 ke atas Scotland dalam penampilan ketiga bintang yang menjadi buruan Chelsea itu di aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Emirates, London malam tadi.
Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-42 dan menyempurnakan penalti pada minit ke-77 di hadapan seramai 53,082 penonton.
Setelah tewas dalam dua aksi persahabatan yang lain sebelum ini kepada Argentina dan Perancis, Brazil telah beralih arah kepada lawan yang lebih mudah menjelang kejohanan Copa Amerika Julai nanti.
Perlawanan itu juga menyaksikan kepulangan Lucio yang digugurkan selepas kempen Piala Dunia sementara penjaga gol, Julio Cesar tidak diuji sepenuhnya oleh Scotland.
Jurulatih Brazil, Mano Menezes turut memberikan peluang buat seorang lagi bintang baru, Lucas, yang menyinar pada kejohanan B-20 Amerika Selatan bulan lepas.
Sementara itu, Neymar mendakwa dia menerima penghinaan berbaur perkauman oleh segelintir penyokongn sewaktu aksi persahabatan antarabangsa menentang Scotland.
Neymar muncul hero selepas meledak kedua-dua jaringan untuk menjulang pasukannya melakar kemenangan selesa 2-0.
Selepas tamat perlawanan, dia memberitahu saluran televisyen Brazil, Sportv, yang dia dihina ketika bersiap sedia mahu mengambil sepakan penalti pada minit ke-77.
Saluran itu melaporkan bahawa sebiji pisang dilemparkan ke arah pemain Santos itu yang datangnya dari arah tempat duduk penyokong Brazil pada akhir babak kedua
Luahan Perasaan