Gyan nafi kemenangan England
ASAMOAH Gyan mengakui dia terkejut apabila menjaringkan gol lewat yang memberikan Ghana keputusan seri dramatik 1-1 dengan England dalam aksi persahabatan di Wembley.
Gyan menjaringkan gol penyamaan Ghana dengan gerakan solo yang cantik dalam masa kecederaan untuk menafikan jaringan Andy Carroll, kelmarin.
Penyerang Sunderland itu menjadi terkenal di dunia apabila dia melepaskan satu peluang untuk meletakkan Ghana ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu apabila terlepas penalti menentang Uruguay selepas Luis Suarez memegang bola.
Namun, Gyan tidak memikirkan mengenai kesilapan yang menyeksakan itu dan dia mampu memadamkan ingatan tersebut dengan menjaringkan gol sulung Ghana menentang England di depan lebih daripada 20,000 peminat negaranya di stadium kebangsaan England itu.
Pemain berusia 25 tahun itu berpusing melepasi pertahanan England, Joleon Lescott dengan mudah sebelum merembat bola ke sudut gawang melepasi penjaga gol, Joe Hart.
Ia satu gol yang cantik, namun Gyan mendakwa dia tidak pasti apa yang dilakukannya.
“Saya berpusing dan beralih, tetapi jujurnya, saya tidak tahu apa yang saya lakukan, saya cuma cuba melindungi bola.
“Pertahanan England amat bijak, tetapi mereka tidak tahu jika saya mahu mengumpan bola tetapi saya sangka, mungkin mereka menjatuhkan saya tetapi mereka tidak melakukannya, jadi saya sangka, saya berpeluang jadi mengambilnya.
“Gol ini sesuatu yang bersejarah. Ia gol pertama yang kami jaringkan ke atas England.
“Ia menakjubkan untuk menjaringkan gol. Ia merupakan kali pertama kami bermain di Wembley. Ia satu impian buat setiap orang di Ghana untuk bermain di sini.
“Kami menanti buat sekian lama untuk bermain di Wembley. Ramai orang Ghana bertanyakan mengapa kami tidak boleh bermain menentang England.
“Kini kami mempunyai peluang itu dan kami menjaringkan satu gol yang penting. Ia benar-benar penting bagi warga Ghana dan bagi semua peminat di sini,” katanya.
Luahan Perasaan