England tewaskan Sepanyol 1-0

  • Perlawanan Persahabatan Antarabangsa

FABIO Capello memberikan pujian kepada barisan pemain muda England selepas skuad bimbingannya mengejutkan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol 1-0 di Wembley, semalam.

Jaringan pada minit ke-49 daripada Frank Lampard memberikan England satu kemenangan paling berharga buat Capello sepanjang menjadi pengurus England.

Walaupun jaringan kemenangan daripada pemain paling lama berkhidmat dalam skuad England, Capello sebaliknya memberikan perhatian kepada persembahan pemain muda yang beraksi cemerlang ketika berdepan Sepanyol.

Pertahanan berusia 19 tahun, Phil Jones tidak banyak melakukan kesilapan walaupun bermain di posisi yang janggal buatnya iaitu bahagian tengah manakala pemain gantian, Jack Rodwell, 20, Danny Welbeck, 20, dan Kyle Walker semuanya nampak tenang dan selesa beraksi.

Capello berkata, kehadiran ramai pemain muda terutama Rodwell dan Walker dalam skuad senior memberikan petanda baik kepada England pada kejohanan Eropah 2012 (Euro 2012) di Poland dan Ukraine.

‘‘Bagi saya apa yang paling penting adalah melihat persembahan beberapa pemain muda seperti Rodwell, Jones, Welbeck, mereka semua adalah pemain yang berbakat.

‘‘Walker sebagai contoh sebaik sahaja dimasukkan, kehadirannya cukup dirasai dalam permainan. Saya rasa semua pemain ini amat penting pada Euro nanti.

‘‘Ini kerana mereka bermain tanpa ada sebarang rasa takut, mereka ada personaliti di atas padang, fizikal dan teknikal yang saya lihat baik seperti mana pemain senior,” kata Capello.

Capello juga mengambil risiko merehatkan kapten, John Terry ekoran masih terlibat dalam penyiasatan isu perkauman tetapi dijangka diturunkan ketika berdepan Sweden.

Tanpa Terry, pertahanan tengah England diambil alih oleh Joleon Lescott dan Phil Jagielka yang selesa beraksi bersama.

‘‘Pada perlawanan tadi, mereka berdua (Lescott, Jagielka) bermain dengan cukup baik. Memang bagus, setiap masa Sepanyol cuba melakukan hantaran, mereka berada dalam posisi yang baik. Mereka jelas berkeyakinan tinggi.

‘‘Jika bermain dengan penuh keyakinan berdepan Sepanyol, tidak mustahil kami boleh mendapatkan keputusan yang baik,” kata Capello.

Capello juga mengesahkan dia akan melakukan sedikit rombakan apabila berdepan Sweden dengan Terry dan Gary Cahill menggantikan Lescott dan Jagielka di bahagian pertahanan. — Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>