Sepanyol muncul Juara EURO 2008 dan Piala Dunia 2010Spany
SEPANYOL bakal memulakan kempen Euro 2012 berbekalkan reputasi hebat selaku juara dunia dan juara bertahan kejohanan.
Namun, sekiranya mereka berhajat untuk menyinar di Poland dan Ukraine, pasukan itu harus melakukan keajaiban yang tidak pernah terjadi sebelum ini atau dalam kata lain, melepaskan diri daripada ‘sumpahan Euro’.
Hakikatnya, sehingga kini tiada pasukan yang berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut sejak kejohanan diperkenalkan pada 1960. Malah, kebanyakan juara ditimpa nasib malang pada edisi berikutnya.
Setelah muncul juara sulung di Perancis pada 1960, Kesatuan Soviet hadir ke pentas final di Sepanyol pada 1964 untuk mempertahankan kejuaraan.
Mereka bagaimanapun terpaksa melepaskan kejuaraan kepada tuan rumah setelah tewas 2-1 melalui jaringan Marcelino Martínez enam minit sebelum tamat perlawanan.
Edisi seterusnya pada 1968 menyaksikan Sepanyol selaku juara bertahan tersungkur di suku akhir. Itali yang menjuarai kejohanan itu mengalami nasib sama pada 1972 dengan Jerman Barat menjadi juara.
Pada 1976, Jerman Barat menjadi pasukan pertama tampil ke kejohanan itu selaku juara dunia dan juara bertahan. Harapan untuk mencipta sejarah bagaimanapun berkecai apabila mereka tewas penalti 5-3 kepada Czechoslovakia setelah terikat 2-2 sepanjang 90 minit perlawanan.
Sumpahan terhadap juara pada edisi berikutnya turut menghantui Czechoslovakia. Bagaimanapun ia tidaklah seteruk mana dengan mereka meraih tempat ketiga setelah menewaskan Itali 9-8 melalui sepakan penalti. Jerman Barat sekali lagi menjuarai kejohanan tersebut dengan menewaskan Belgium 2-1.
Kejohanan 1984 menyaksikan Jerman Barat selaku juara ‘balik kampung’ seawal peringkat kumpulan. Perancis selaku juara kejohanan tersebut mengalami nasib lebih teruk apabila gagal layak ke peringkat kumpulan pada 1988 yang akhirnya dimenangi Belanda.
Belanda kemudiannya diberi harapan tinggi untuk mempertahankan kejuaraan pada 1992. Namun mereka tewas 5-4 melalui penentuan sepakan penalti di separuh akhir kepada Denmark yang menjuarai kejohanan itu menewaskan Jerman 2-0.
Sumpahan itu tampak berterusan. Jerman menang pada 1996 tetapi pulang seawal peringkat kumpulan pada edisi berikutnya yang menyaksikan Perancis diangkat sebagai juara.
Perancis pula langsung gagal melepasi pusingan kelayakan empat tahun kemudian, manakala Greece gagal mengutip sebarang mata pada 2008 walaupun memegang status juara bertahan.
Fenomena ini tampak menarik untuk kaki bola meramal nasib Sepanyol kali ini. Mungkinkah masanya sudah tiba untuk Sepanyol membuang sumpahan Euro ?, ia suatu yang bakal menjadi tumpuan utama apabila kempen dibuka , Jumaat ini. Sepanyol diletak dalam Kumpulan B bersama Itali, Ireland dan Croatia.
No comments yet... Be the first to leave a reply!