JUARA Piala Dunia dan Euro, Sepanyol, mengakhiri persiapannya menjelang Kejohanan Euro kelmarin dengan terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan China 1-0 di Sevilla semalam.
Penyerang Manchester City, David Silva, menyambar gol kemenangan enam minit sebelum permainan ditamatkan kerana China begitu tersusun dalam menyerap tekanan.
Dengan beberapa pemain skuad Sepanyol sedang berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan pimpinan Vicente Del Bosque untuk menentang Italy Ahad depan, tiga pemain begitu menonjol dari segi persembahan.
Selain Silva, dua lagi ialah Santi Cazorla dan Fernando Torres.
China, yang dipimpin bekas jurulatih Sepanyol, Jose Antonio Camacho, kelihatan mengancam pada awal permainan.
Bekas pemain Celtic, Zheng Zhi, menimbulkan pelbagai masalah kepada barisan pertahanan Sepanyol. Bahkan, pada minit ketujuh, beliau merampas bola daripada Xabi Alonso tetapi rembatannya kemudian tersasar.
Alvaro Negredo hampir membuka tirai jaringan selepas menerima hantaran Silva tetapi penjaga gawang China, Zeng Cheng, sempat menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Penjaga gawang Sepanyol, Iker Casillas, kerap diuji dalam separuh masa pertama.
Kapten China, Zhi, yang pernah menyarung jersi Charlton Athletic, terlibat dalam hampir semua gerakan pasukannya. Beliau wajar memecahkan kebuntuan permainan pada minit ke- 28 tetapi Casillas terbukti lebih pantas menepis rembatannya.
Sebelum rehat, Negredo berpeluang menguji penjaga gawang China, juga melalui gerakan Silva, tetapi kedudukan masih terikat 0-0.
Torres menggantikan tempat Negredo selepas rehat dan Andres Iniesta, yang juga beraksi dalam babak kedua, menguji Cheng pada minit ke-53.
China terselamat dua lagi percubaan Sepanyol. Pertama, melalui Raul Albiol, yang tandukannya terkena tiang gawang, dan kemudian percubaan Iniesta juga menyinggah palang.
Penjaga gawang Barcelona, Victor Valdes, yang mengambil alih tempat Casillas, juga terpaksa menyelamatkan tendangan percuma Sun Xiang pada minit ke-80.
Enam minit kemudian, Iniesta meluru ke kawasan penalti China sebelum menolak bola ke arah Silva untuk menjaringkan gol kemenangan Sepanyol.
No comments yet... Be the first to leave a reply!