Ukraine vs Sweden | UEFA EURO 2012
Ukraine vs Sweden (Group D)
11 June 2012, 2.45 pagi
LIVE TV3, Astro 825
- Ukraine nekad sekat Sweden
PERSIAPAN kelam-kabut Ukraine menganjurkan Euro 2012 menyebabkan Uefa pening kepala dan semuanya tidak begitu bagus buat tuan rumah bersama itu.
Pasukan kendalian Oleh Blokhin mengalami siri kekalahan pada perlawanan persahabatan termasuk tumpas di tangan Austria dan Turki, yang kedua-duanya gagal layak ke Euro 2012.
Lebih memburukkan keadaan, 10 pemain mereka dilanda keracunan makanan ketika Ukraine mempersiapkan diri bagi perlawanan Kumpulan D menentang Sweden awal pagi esok manakala tiga penjaga gol utamanya tidak dapat beraksi bagi pusingan akhir, seorang kerana menggunakan bahan terlarang.
Selepas layak ke suku akhir Piala Dunia enam tahun lalu, Ukraine merudum dari tangga ke-13 ranking dunia ke tangga ke-52, kalah lima daripada enam perlawanan pada satu ketika tahun lalu.
Satu lagi petanda masalah mereka masih bergantung harap kepada bekas penyerang AC Milan, Andriy Shevchenko untuk mencetus inspirasi sekalipun pada usia 36 tahun dia sudah jauh daripada kemuncak prestasinya.
Bermain 108 kali buat negaranya, Shevchenko menjanjikan penyokong tuan rumah satu peningkatan daripada persembahan terkini.
“Saya tidak dapat sangkal pada perlawanan menentang Austria dan Turki ada sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam pasukan kami. Tapi pasti ada alasan semua ini,” katanya.
“Saya boleh janji pada perlawanan menentang Sweden, anda akan lihat gaya yang pasti berbeza daripada pasukan kebangsaan Ukraine.” Shevchenko berkata dia bersedia untuk melakukan apa saja yang diminta negaranya dalam minggu mendatang.
“Secara jujur, saya tidak kisah berapa minit saya akan berada di padang,” katanya. “Perkara utama buat saya adalah melakukan perkara tepat untuk membantu pasukan.”
Paling membimbangkan adalah kehilangan tiga penjaga gol utama Ukraine, dua kerana kecederaan dan ketiga, penjaga gol Shakhtar, Olexandr Rybka, yang digantung dua tahun kerana diuji positif dadah terlarang pada perlawanan domestik.
Ia meninggalkan Andriy Pyatov sebagai penjaga gol paling berpengalaman dengan 26 cap manakala dua pembantunya, Maxym Koval dan Oleksander Horyainov, hanya mengumpul tiga cap di kalangan mereka.
Ia pasti mencetus masalah menentang pasukan Sweden kendalian Erik Hamren yang suka mengamalkan corak menyerang.
Jurulatih itu baru-baru ini menafikan kebimbangan pertahanan selepas Sweden melepaskan tiga gol mudah dalam dua perlawanan persahabatan.
- Sweden harap sentuhan Ibrahimovic
Selain menyandarkan harapan terhadap perpaduan di kalangan pemain, Sweden sebenarnya mempunyai seorang pemain yang jika berada dalam mood baik, mampu mengubah hala tuju permainan - Zlatan Ibrahimovic.
Masalahnya, baik pasukannya sendiri mahupun lawan mereka tidak tahu apa yang difikirkan pemain itu setiap kali turun beraksi. Apapun, pemain yang menjaringkan gol menakjubkan ketika menentang Itali pada Euro 2004 sentiasa dianggap sebagai gagal untuk menyerlah di kejohanan besar.
Pengurus Sweden, Erik Hamren, menerusi riak wajah suram dan tidak begitu bersemangat ketika mendedahkan senarai pasukannya pada awal minggu ini memberitahu mengapa pasukannya bukan pilihan bagi pertemuan menentang Ukraine.
“Kami sudah bertemu Ukraine tiga kali sejak beberapa tahun lalu dan kami menang sekali, tewas sekali dan seri sekali. Tidak banyak sebenarnya yang membezakan kami,” katanya.
“Tapi, mereka mempunyai sokongan padu penyokong tuan rumah. Itulah sebab mengapa mereka menjadi pilihan. Tidak banyak negara tuan rumah tewas perlawanan pembukaan kejohanan ini.”
No comments yet... Be the first to leave a reply!