Home » Italy, Spain, Top News » Prebiu Group C: Sepanyol vs Itali


Spain vs Italy | UEFA EURO 2012

Sepanyol vs Itali (Group C)
10 June 2012, 11.55 malam
LIVE Astro 825

TIDAK kira Itali ataupun Sepanyol, kedua-dua pasukan gergasi Eropah itu percaya ketiadaan penyerang sensasi David Villa akan memberi kesan dalam pertembungan mereka bagi aksi pertama Kumpulan C pada Euro 2012, awal pagi esok.

Sepanyol kehilangan pemegang rekod penjaring terbanyak namun dianggap tidak seteruk Itali yang berdepan masalah dalam dan luar padang berikutan skandal rasuah dalam liga domestik dan kekalahan 0-3 di tangan Russia pada aksi persahabatan Jumaat lalu.

Villa, pemegang rekod penjaring terbanyak Sepanyol adalah wira skuad negaranya dua tahun lalu ketika menjulang trofi Piala Dunia namun terpaksa disisihkan dalam kejohanan ini kerana masih belum sembuh akibat kecederaan patah kaki.

Namun biarpun tanpa penyerang bintang itu, pemain sayap Pedro Rodriguez percaya mereka tidak akan ketandusan jaringan.

“David Villa pemain sangat penting jika mengambil kira gol yang disumbangkannya, dia penyerang yang sangat bahaya.

“Namun dalam skuad ini masih ada pemain yang mampu menghasilkan gol seperti (David) Silva, (Andres) Iniesta, (Juan) Mata atau (Jesus) Navas.

“Kami akan mencari gol tanpa kehadiran Villa bagi membolehkan kami mara ke peringkat sejauh mungkin dalam Euro.” Sepanyol bukan saja kehilangan Villa malah tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan tengah, Carles Puyol akibat kecederaan.

Namun pemain tengah Itali, Thiago Motta menyatakan pemain gantian yang mengambil tempat pemain itu juga mampu beraksi hebat.

“Pasukan mereka tidak akan menjadi lemah, mereka dalam prestasi baik dan dalam tempoh empat tahun lalu, mereka memenangi semua kejohanan utama,” kata pemain kelahiran Brazil itu.

  • Itali lupakan episod duka

Badai masalah yang melanda persiapan Euro 2012 Itali akan segera dilupakan, demikian menurut pemain tengah veteran Roma, Daniele De Rossi.

Mereka mahu meninggalkan skandal mengatur keputusan perlawanan yang memalukan di negara mereka dan menenangkan fikiran.

Tambahnya lagi, skuad kebangsaan kini berada dalam situasi yang teruk selepas menamatkan tiga perlawanan berturut-turut tanpa menjaringkan gol dan lebih memalukan kekalahan terakhir dibelasah Russia 3-0.

Namun De Rossi yakin Azzurri akan melupakan episod memalukan itu apabila membuka tirai saingan menentang Sepanyol di Gdansk awal pagi esok.

Malah dia yakin walaupun peminat tidak berasa dekat dengan pasukan ketika ini namun mereka akan segera memberi sokongan padu.

“Apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu menjadi punca tapi semuanya akan dilupakan, kerana kami semua bermain untuk Itali dan tiada kaitan langsung dengan apa yang sudah berlaku,” katanya.

“Sebelum ini, sebulan sebelum Piala Dunia 200, kami menghadapi situasi hampir sama.

“Ia agak menjengkelkan apabila anda baca mengenai pasukan yang terbabit dengan timbang tara sukan namun tidak sabar untuk mengakhirinya.

“Tapi hal itu bukannya perkara paling kotor pernah berlaku dalam bola sepak seluruh dunia kerana keutamaan skuad kebangsaan mengatasi segala-galanya.”

Ada yang percaya bahawa skuad Itali tidak cukup bagus untuk bersaing dengan pasukan terbaik Eropah, apa lagi dengan rentetan kekalahan perlawanan persahabatan di tangan Uruguay dan Amerika Syarikat selain yang terakhir kepada Russia.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter