Ireland vs Croatia (Group C)
11 June 2012, 2.45 pagi
LIVE TV3, Astro 825
SESIAPA yang berasakan cara Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara sebagai menjelekkan, mereka dinasihatkan tidak menonton perlawanan antara Ireland dan Croatia, hari ini.
Chelsea membuktikan tidak mustahil untuk menewaskan lawan lebih handal dengan menampilkan benteng pertahanan mantap, serangan balas pantas dan tuah seperti dilakukan ketika menewaskan Barcelona dan Bayern Munich.
Belum diketahui berapa banyak pasukan dari 16 negara bertanding kali ini akan cuba meminjam strategi Chelsea, tetapi Ireland adalah antara pasukan yang pasti akan mencubanya.
Belum pernah tewas dalam 14 perlawanan terakhir, dan dengan rekod bersih 11 perlawanan daripadanya, Ireland bakal menjadi lawan liat buat Croatia yang membariskan pemain tonggak sudah berusia dan tampak perlahan apabila berdepan benteng kental lawan.
Pengendali Ireland, Giovanni Trapattoni sudah mencongak peluang untuk mara ke kelompok lapan terakhir dengan hanya mengutip empat mata daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan yang turut membariskan Sepanyol dan Itali.
“Keputusan awal amat penting. Jika kedua-duanya seri, kemungkinan untuk mara dengan empat mata tidak mustahil,” kata Trapattoni. “Kami mahu menang, bermain dan menjaringkan gol. Tetapi lawan kami semuanya handal.
“Saya teringatkan final Liga Juara-Juara. Bayern lebih mengawal permainan, berhak menang, tetapi tewas kerana Chelsea mencipta peluang lebih baik. Bayern mendapat 17 tendangan sudut berbanding satu untuk Chelsea - itulah bola sepak.
“Kami tidak mempunyai ramai pemain kreatif, tetapi pemain yang gigih. Kami ada gaya permainan tersendiri. Kami bukan pasukan Latin, bukan pasukan yang memiliki kelebihan teknikal. Kami adalah pasukan yang mempunyai karakter tersendiri - jelas dan tepat.”
- Isu pindah ke United tidak ganggu Modric
Sementara itu pengendali Croatia, Slaven Bilic menegaskan, bintang tengahnya Luka Modric tidak akan terganggu dengan khabar angin mengenai perpindahannya ke Manchester United, musim depan.
Bilic yang dalam persiapan terakhir menjelang perlawanan pertama Kumpulan C menentang Ireland hari ini, terpaksa menjawab soalan mengenai perpindahan perancang kreatif skuadnya selepas laporan Jumaat lalu menyebut United sudah memeterai perjanjian dengan pemain Tottenham itu.
Bilic sudah bertemu Modric dan menegaskan perkara itu bukan satu masalah.
“Jangan risau, Luka tidak akan terpengaruh dengan cakap-cakap mengenai masa depannya,” kata Bilic. “Tidak mungkin. Kami sering berbincang dan Luka sentiasa meletakkan rakan sepasukan di depan, berbanding cita-citanya.
“Dia sangat bertanggungjawab, dia tahu dia perlu menjadikan kejohanan ini sebagai detik bermakna dan berada pada tahap terbaiknya untuk membantu apa yang kami cuba capai.
“Perbincangan mengenai masa depannya hanya akan menguatkan lagi semangat dan keyakinannya. Menjadi tugas saya untuk mengubahnya kepada satu kelebihan buat dirinya, bagi memastikan tekanan akan memacu dirinya ke depan, bukan membebankan.
“Sebagai pengendali Croatia dan juga peminat, atau abang, ayah atau rakan, saya mahu dia gembira.”
Bilic turut menasihati Modric tetapi bukan bertujuan untuk menggugat keyakinan pemain itu.
“Dia tahu apa yang saya fikir dan ia adalah perbincangan rahsia antara kami,” katanya. Modric menjadi kunci kepada kejayaan Croatia kali ini dengan Bilic membayangkannya sebagai: “Jika dia bermain baik, pasukan ini akan bermain baik.”
No comments yet... Be the first to leave a reply!