PORTUGAL tidak berniat membalas dendam ke atas Jerman atas kekalahan di suku akhir empat tahun lalu apabila mereka membuat perhitungan sekali lagi pada aksi pembukaan Kumpulan B Euro 2012, awal pagi Ahad ini, kata kapten dan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Pemain perancang Real Madrid berusia 27 tahun itu yang masih belum menikmati sebarang kejayaan di pentas antarabangsa berkata, Portugal menghormati Jerman, namun mereka yakin boleh melakukan kejutan bagi mengelakkan pulang awal pada kejohanan kali ini.
“Saya tidak mahu menggunakan perkataan ‘balas dendam’ dalam bola sepak kerana ia hanyalah perlawanan bola sepak, bukan peperangan,” kata Ronaldo yang kali pertama menyinar di pentas antarabangsa ketika bersama pasukannya tumpas kepada Greece di final Euro 2004.
“Kami mahu menang kerana kami mahu memulakan kempen Kejohanan Eropah dengan cemerlang dan kami tahu Jerman pasukan hebat, mereka meraih beberapa keputusan bagus dalam kejohanan kebelakangan ini.
“Jadi, mereka pasukan yang kami hormati, namun kami juga mempunyai potensi, kami memiliki kekuatan dan akan melakukan yang terbaik bagi aksi pertama ini.”
Ronaldo yang turut beraksi dengan pasukan kebangsaan yang tewas kepada Jerman dalam penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2006 berkata, walaupun mereka berada dalam Kumpulan Maut, dia yakin mereka mampu melangkah ke suku akhir.
Portugal yang tertekan dengan keputusan buruk dalam aksi persahabatan bukan hanya diundi menentang Jerman, malah finalis Piala Dunia, Belanda dan juara 1992, Denmark yang mengalahkan mereka pada pusingan kelayakan.
“Kami sedar kami berada dalam kumpulan paling sukar di kejohanan kali ini, tetapi ia tidak perlu dikesalkan kerana anda tidak boleh mengubah keadaan,” katanya kepada uefa.com.
“Jadi kami harus bersedia. kami tidak ada pilihan lain, kami perlu berdepan Jerman, Denmark dan Belanda. Pasukan ini menyukarkan kami tapi saya fikir Portugal mendapat keputusan baik dan mara ke pusingan seterusnya.”
No comments yet... Be the first to leave a reply!