SEMUA serba tidak menjadi buat Portugal seminggu sebelum membuka tirai Euro 2012 menentang Jerman, apabila cemuhan mengiringi pemergian mereka ke Ukraine selepas diaibkan 1-3 oleh Turki dalam aksi pemanas badan semalam.
Kekalahan ini menimbulkan persoalan sejauh mana kemampuan skuad bimbingan Paulo Bento untuk mengharungi kempen Euro kerana mereka diundi dalam ‘kumpulan maut’ yang turut naib juara Piala Dunia, Belanda dan Denmark, selain Jerman.
Perancang utama Portugal, Ricardo Quaresma berulang kali diejek penyokong, apatah lagi ini adalah kegagalan ketiga berturut-turut negara itu melakar kemenangan selepas seri 0-0 dengan skuad lemah Macedonia sebelum ini, selain Poland.
Tambah memburukkan keadaan, pemain termahal dunia dan ketua pasukan, Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-65, sekali gus menambah kemarahan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Luz.
Sejurus tamat perlawanan, Bento menggesa semua pemain dan peminat bertenang, sambil menegaskan keputusan ini bukan penamat segala-galanya.
“Saya rasa ia keputusan yang tidak adil tetapi kita harus terus percaya kepada diri sendiri, percaya dengan apa yang kita lakukan.
“Kita tidak harus berputus harap. Biarpun diejek, saya percaya sokongan yang kami terima sebenarnya cukup hebat, cuma pada akhirnya, keputusan perlawanan yang dimahukan peminat.
“Jelas sekali kami melakukan kesilapan tetapi kami sepatutnya memenangi perlawanan ini jika melihat peluang yang hadir,” ujar bekas pengendali Lisbon itu, sambil menegaskan Portugal akan memperbaiki segala kelemahan dalam tempoh seminggu ini.
Penyerang Turki, Umut Bulut menjaringkan kedua-dua gol pasukannya, yang pertama pada minit ke-ke-35, sebelum menambah jaringan kedua di minit ke-52 akibat daripada kecelaruan pertahanan Portugal.
Lima minit selepas itu Nani berjaya memanfaatkan peluang yang diperolehi untuk mendapatkan jaringan, namun gol sendiri Ricardo Costa minit ke-88 mengecewakan impian Portugal untuk memenangi perlawanan itu.
Portugal memperoleh enam peluang mendapatkan jaringan termasuk percubaan daripada Miguel Lopes.
Malah Ronaldo juga turut mempamer salah satu daripada kemahiran yang dimiliki ketika memperoleh sepakan percuma tetapi gagal mendapatkan gol.
Gawang Portugal turut diuji oleh pemain Turki, Hamit Altintop pada minit ke-30 namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Rui Patricio.
Pertahanan yang lemah juga menjadi punca serangan mudah dilancarkan oleh pemain Turki pada perlawanan persahabatan kelmarin. — Utusan
No comments yet... Be the first to leave a reply!