PERANAN Steven Gerrard dalam pasukan England kerap dibandingkan daripada peranan seorang quarter-back dalam sukan American Football.
Kapten England itu harus pintar merebut peluang dengan membuat umpanan-umpanan yang bijak kepada para penyerangnya.
Bahkan, pemain midfield itu juga dijangka menyumbangkan gol ketika England beraksi di pentas Euro 2012 nanti.
Gerrard, 32 tahun, telah diberi tanggungjawab oleh pengurus England, Roy Hodgson, untuk memimpin pasukan negaranya dan ramai berpendapat bahawa beliau akan muncul sebagai pemain paling penting dalam pasukan tersebut.
Pemain Liverpool itu boleh mengubah rentak perlawanan dalam sekelip mata, baik dengan membuat hantaran jauh yang tepat mahupun melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol.
Pada masa yang sama, ramai juga berpendapat bahawa kejohanan kali ini merupakan yang terakhir bagi Gerrard untuk memenangi sesuatu dengan England sebelum beliau bersara.
Beliau sudah pun memenangi Piala FA, Piala Liga dan Kejohanan Liga Juara-Juara Eropah dengan Liverpool, tetapi di tahap antarabangsa, masih belum ada piala yang dapat didakap oleh Gerrard.
Mungkin beliau lebih menyerlah sebagai seorang pemain kelab dan tidak begitu hebat setiap kali beliau menyarung jersi negara.
Antara lain, beliau kerap mengalami kecederaan. Walaupun sering dipilih dalam kesebelasan pertama England, sejauh ini beliau belum dapat memainkan peranan penting.
Rekod Gerrard semasa mewakili England kurang menyerlah.
Beliau hanya menjaringkan 19 gol dalam 92 perlawanan sebelum ini.
Ini sudah pasti peluang terakhir Gerrard memenangi sesuatu untuk England, terutama sekali selepas rakan-rakan sepasukannya seperti David Beckham, Paul Scholes dan Frank Lampard sudah pun bersara atau tidak dipilih untuk mewakili negara.
Bolehkah Gerrard memimpin England dan membawa kejayaan kepada pasukan Three Lions itu kali ini?
No comments yet... Be the first to leave a reply!