Yann M’Villa - France
Yann M’Vila akan kekal bersama skuad Perancis untuk Euro 2012 selepas imbasan MRI, kelmarin mendedahkan buku lalinya hanya terseliuh dan tidak mendatangkan komplikasi, menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).
Pemain tengah 21 tahun itu, tonggak utama skuad kendalian Laurent Blanc, tercedera pada minit pertama ketika Perancis menewaskan Serbia 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan Khamis lalu dan terpaksa meninggalkan padang sejurus kemudian.
Dia akan terbang ke Ukraine bersama rakan sepasukan esok, walaupun peluangnya untuk tampil pada perlawanan pembukaan Kumpulan D menentang England di Donetsk pada 11 Jun tampak tipis.
“Keputusan MRI mengesahkan buku lalinya tercedera tetapi tidak terlalu serius,” kata FFF dalam satu kenyataan. “Ia akan mengambil masa untuk pulih tetapi tidak ada komplikasi lain.”
Badan induk itu turut menyatakan, penjaga gol, Steve Mandanda yang cedera ibu jari kaki kanannya, cergas untuk beraksi, tetapi imbasan MRI ke atas pemain tengah, Blaise Matuidi mengesahkan hamstring kanan pemain itu koyak kecil.
Perancis bakal menyempurnakan persiapan Euro 2012 dengan perlawanan persahabatan menentang Estonia di Le Mans, hari ini.
No comments yet... Be the first to leave a reply!