JENTERA gol, Cristiano Ronaldo berada pada kemuncak kariernya tetapi pemain termahal dunia itu masih mempunyai satu lagi cita-cita yang belum dipenuhi - memenangi piala antarabangsa buat Portugal.
Kelicikan, kelincahan dan rembatan deras penyerang Real Madrid berusia 27 tahun itu akan menjadi tumpuan peminat bola sepak pada Euro 2012, di mana dia akan mengetuai negaranya sebagai ketua pasukan.
Seperti bintang Barcelona, Lionel Messi, prestasi Ronaldo sebelum ini lebih menonjol ketika di kelab berbanding skuad kebangsaan.
Bagaimanapun keazamannya untuk bermain baik pada Kejohanan kali ini lebih kuat berbanding sebelumnya selepas mengalami kekecewaan bersama kelab. Biarpun membantu Real merampas kejuaraan La Liga, tetapi dia masih dibayangi kegagalan di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Pada Euro 2004, apabila Portugal bergantung kepada pemain yang semakin merosot, Luis Figo dan Rui Costa, Ronaldo menonjolkan diri. Malangnya sekali mereka dikejutkan oleh Greece di final.
Ronaldo yang masih muda ketika itu menangis walaupun dipilih sebagai pemain terbaik. Dia turut kecewa dalam dua lagi kejohanan besar apabila hanya menjaringkan satu gol di Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.
“Cristiano memikul tanggungjawab besar sejak berusia 18 tahun.
“Pasukan perlu memberi sokongan kepada Cristiano supaya dia boleh bertenang dan menunjukkan permainan sebenarnya,” kata rakan sepasukannya, Pepe.
“Pemain-pemain yang beraksi di luar negara menjadi sandaran utama Portugal, namun dia seorang saja tidak boleh mendapatkan kemenangan,” tegas jurulatih Portugal, Paulo Bento. - Utusan
No comments yet... Be the first to leave a reply!