Home » Bintang Euro, England » Joe Hart sandaran utama England

Joe Hart

BUKAN Wayne Rooney atau Steven Gerrard, tetapi Joe Hart yang bakal memainkan peranan penting apabila England beraksi dalam kejohanan Euro 2012.

Pengurus England, Roy Hodgson, telah mengenal pasti penjaga gawang itu sebagai pemain utama pasukannya.

Gawang yang dikawal Hart masih belum dibolos gol pihak lawan sejak beliau memulakan kerjayanya sebagai penjaga gawang nombor satu England.

Bahkan, England tidak pernah tumbang setiap kali Hart diturunkan.

Hart sudah pun mewakili England sebanyak lapan kali dan pemain Manchester City itu dilihat Hodgson sebagai seorang anggota penting England.

Hodgson sebelum ini pernah berkata bahawa Hart bakal menjadi lebih hebat daripada dua penjaga gawang England, Gordon Banks dan Peter Shilton.

“Saya berpendapat peranan penjaga gawang itu penting jika mahukan sesebuah pasukan menyerlah,” kata Hodgson yang baru sahaja dilantik sebagai pengurus England.

Peranan seorang penjaga gawang itu penting sekali bagi Hodgson kerana mereka merupakan barisan pertahanan terakhir mana-mana pasukan.

“Lihat sahaja kepada pasukan-pasukan England yang hebat pada masa lalu, bukankah mereka mempunyai seorang penjaga gawang yang berkebolehan dan hebat?” ujar beliau yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih Liverpool.

Hodgson selanjutnya berkata Hart bakal memainkan peranan penting terutama sekali selepas beberapa pemain di benteng England mengalami kecederaan baru-baru ini, termasuk Gary Cahill.

Sementara itu, Hart berkata beliau gembira kerana diberi peluang diturunkan sebagai penjaga gawang pertama England. Menurutnya, beliau akan memberi yang terbaik apabila diturunkan nanti.

Dua tahun lalu, Hart menyertai pasukan England di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Namun, beliau tidak dipilih sebagai penjaga gawang nombor satu England.

Tetapi Hart berkata pengalaman tersebut sedikit sebanyak telah membantunya.

“Pengalaman saya di Afrika Selatan telah membantu saya dan ia merupakan satu pengalaman yang hebat walaupun kami gagal melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.

“Tetapi kali ini berbeza. Saya semakin matang dan mempunyai lebih banyak pengalaman,” kata Hart yang menyerlah dengan City musim lalu.

Beliau mengenal pasti Perancis sebagai pencabar utama England di peringkat kumpulan. Kedua-dua pasukan itu bakal bertemu dalam perlawanan pembukaan kumpulan, Isnin depan.

Hart berkata England harus memulakan kejohanan itu dengan baik.

“Mereka hebat dan perlawanan tersebut pasti akan menjadi perlawanan yang terbesar bagi kerjaya saya. Tetapi saya mempunyai keyakinan dengan benteng saya dan yakin kami boleh mengatasi cabaran tersebut,” ujar Hart.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter