Pilihan Juara EURO 2012 by Ruud Gullit
“SAYA percaya perlawanan akhir nanti akan menemukan Jerman dengan Sepanyol dan seperti mana kebanyakan peminat bola sepak percaya, Jerman akan muncul juara.
Tapi, saya juga percaya yang negara saya, Belanda turut berpeluang untuk menang kejohanan ini, jika jurulatih Bert van Marwijk dapat memastikan pemainnya yang bertaraf dunia memberikan yang terbaik.
Belanda boleh dianggap dua tahun lebih matang berbanding pasukan 2010 ketika mereka mara ke final Piala Dunia dengan mempunyai beberapa pemain menyerang terhebat dunia pada waktu ini, Klaas-Jan Huntelaar, Robin van Persie, Arjen Robben, Ibrahim Afellay, Rafael van der Vaart, Wesley Sneijder dan Dirk Kuyt.
Tapi, masalah Belanda adalah mereka tidak boleh menjumpai keseimbangan yang betul. Persoalan paling besar adalah bolehkah Van Marwijk menjumpai formula untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemainnya? Saya sudah tentu gembira jika Belanda yang menang, tapi jika mereka tidak menang, saya terpaksa memilih antara Jerman dan Sepanyol dan pilihan saya adalah Jerman.
- Jerman
Berbekalkan pemain muda yang bijak, Jerman menjadikan diri mereka sebuah pasukan menarik, jadi saya percaya mereka boleh mengatasi juara dunia, Sepanyol yang satu atau dua pemain mereka mungkin sudah melepasi zaman kemuncak.
Pemain Jerman memberikan persembahan menghiburkan di Piala Dunia lalu di Afrika Selatan. Mereka mempunyai beberapa pemain yang saya suka melihat gaya mereka beraksi - Toni Kroos, Thomas Mueller dan Mesut Ozil di bahagian tengah serta Miroslav Klose di depan.
Dan tonggak mereka, Bastian Schweinsteiger. Orang berkata kepada saya yang mereka tertanya-tanya sama ada dia akan menjadi pemain yang sama selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti penentuan untuk Bayern Munich ketika menentang Chelsea di final Liga Juara-Juara lalu. Saya boleh menjawab soalan itu.
Sudah tentu, dia boleh! Sungguhpun kecewa, tapi saya percaya dia mampu bangkit dengan kemenangan di Kejohanan Eropah akan menjadi sagu hati buatnya selepas begitu mengecewakan di Allianz Arena.
- Bukan pentas England, Itali
Apapun, saya tidak percaya kejohanan kali ini untuk Itali atau England.
Bola sepak Itali sekarang berdepan dengan tuduhan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan, jadi ia tidak bagus untuk pemain Itali yang sedang menyiapkan diri untuk kejohanan utama.
Saya kecewa dengan apa yang berlaku kepada bola sepak Itali ketika ini. Saya begitu gembira bermain di Itali dan saya sendiri terhutang budi dengan bola sepak negara itu. Saya harap perkara itu dapat diselesaikan segera. Tanpa liga dan pasukan kebangsaan Itali yang kuat bola sepak Eropah akan menjadi lemah.
Bagi England, ia membabitkan masalah asas kerana posisi paling penting di kebanyakan kelab utama sudah diisi pemain yang bukan anak watan sama ada penjaga gol, pertahanan, perancang mahupun penyerang.
jerman n rusia best