Home » Italy, Top News » Itali mampu atasi Sepanyol - Chiellini

PERTAHANAN Itali, Giorgio Chiellini percaya pasukannya mempunyai kualiti diperlukan menumbangkan juara bertahan Euro 2008, Sepanyol dalam aksi pertama kedua-dua pasukan awal pagi nanti.

Jelasnya, barisan pemain mempunyai motivasi dan keyakinan tinggi boleh memenangi perlawanan tersebut selain bertekad mempamerkan persembahan berkualiti bagi memastikan kemenangan.

“Kami tidak akan menunggu bola datang dan kemudiannya melakukan serangan balas kerana itu bukan sifat sebenar kami dalam permainan bola sepak.

“Sepanyol telah membuktikan kualiti permainan mereka dan kita tetap menghormati lawan,” katanya.

Persiapan Azzurri untuk kejohanan itu terganggu oleh kecederaan beberapa pemain dan skandal pertaruhan yang mungkin mempunyai kesan serius dalam bola sepak Itali.

Dalam perlawanan persahabatan menentang Rusia, anak didik Casera Prandelli tewas mengejut 0-3, tetapi Chiellini percaya peluang pasukannya mampu mengutip tiga mata penuh menentang juara Eropah dan dunia itu.

Sementara itu, bekas pengendali Itali, Roberto Donadoni yakin Itali mampu melakukan kejutan menundukkan Sepanyol dalam perlawanan pertama peringkat kumpuan C di bawah kendalian Prandelli.

“Itali mampu menewaskan Sepanyol jika pemain mempamerkan persembahan berkualiti dan bertenaga dan ia telah terbukti dalam perlawanan persahabatan Ogos lalu apabila kemenangan berpihak kepada Itali 2-1,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pemain pertahanan Itali, Andrea Barzagli yang terpaksa diketepikan dalam perlawanan menentang Sepanyol dan Croatia berkemungkinan besar bakal beraksi dalam perlawanan ketiga menentang Ireland.

Doktor yang merawat pemain berkenaan, Enrico Castellacci berkata, Barzagli telah menunjukkan kemajuan yang besar dalam proses perubatan yang dijalaninya.

“Selepas beberapa ujian perubatan, kami telah melihat peningkatan besar dari segi kecederaan,” katanya.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter