KEJOHANAN Bolasepak Eropah atau lebih dikenali UEFA EURO (EURO 2012) untuk tahun ini akan membuka tirai pada 8 Jun di Warsaw, ibu kota Poland di mana tuan rumah akan menentang juara 2004, Greece.
Sejak Kejohanan UEFA EURO diadakan mulai 1960, terdapat tiga kali di mana kejohanan berprestij itu diadakan pada tahun sama Malaysia mengadakan pilihan raya umumnya (PRU).
Pertama kali adalah pada 1964 di Sepanyol. Kali kedua adalah pada 2004 di Portugal manakala kali ketiga pada tahun 2008 kejohanan itu diadakan di dua buah negara, Austria dan Switzerland.
Walaupun sukar diramalkan pasukan mana yang akan menjulang trofi EURO 2012, namun ramai yang menjangkakan juara bertahan Sepanyol akan mempertahankan trofi yang dimenanginya pada 2008.
Jika hasrat mereka tercapai, ini bermakna Sepanyol bakal menjadi negara Eropah pertama yang memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut — Euro 2008, Piala Dunia FIFA 2010 dan Euro 2012.
Bagi rakyat Malaysia bola sepak sememangnya menjadi sukan nombor satu sehingga tercetus slogan popular “Makan Bola, Tidur Bola” dan tentunya banyak tumpuan akan dibuat pada kejohanan tersebut tahun ini walaupun perlawanan akan diadakan pada lewat malam atau waktu pagi di tanah air.
Demam pilihan raya juga tidak kurang bahang kehebatannya. Pada tahun ini pula ada yang meramalkan kemungkinan kedua-dua pertandingan itu, EURO 2012 dan PRU-13, diadakan pada tahun yang sama.
Yang pasti perlawanan akhir EURO 2012 akan berlangsung pada 1 Julai. Apa yang belum pasti ialah pasukan mana yang akan beraksi atau tarikh PRU-13.
Seperti EURO 2012, parti-parti politik tempatan kini dalam peringkat akhir menyiapkan skuad dan jentera pilihan raya mereka.
Mereka juga sedang mengenal pasti calon yang benar-benar layak dan mampu memikat hati pengundi sekaligus memastikan kemenangan.
Calon yang kurang menyerlah atau berhadapan dengan bermasalah sudah pastinya tidak boleh disenaraikan.
Justeru segala-galanya terletak dalam tangan `pengurus pasukan` mereka.
- Bernama
No comments yet... Be the first to leave a reply!