Home » Bintang Euro, Spain » David Silva arkitek baru Sepanyol

David Silva - Spain
David Silva | Sepanyol

KETIKA Sepanyol melakar sejarah muncul juara Eropah 2008, disusuli Piala Dunia 2010, peranan yang dimainkan David Silva tidak terlalu besar.

Namun, selepas mempamer aksi cemerlang bersama kelab barunya, Manchester City, bintang tengah bertubuh kecil ini kini menjadi tumpuan.

Masih segar dengan kejayaan membantu City menjuarai Liga Perdana Inggeris, kelicikan Silva bakal memeningkan lawannya di Euro 2012.

Bagaimanapun, bekas pemain Valencia itu perlu terlebih dulu merebut tempat dalam pasukannya sendiri yang turut dibarisi ramai pemain berkaliber sama ada di bahagian tengah, mahupun jentera serangan.

Namun, kelebihan mampu bermain di bahagian sayap atau serangan menjadikan Silva calon pilihan jurulatih, Vicente del Bosque. Dia dijangka bersedia mengambil alih watak arkitek baru skuad La Furia Roja itu.

Silva, 26, yang menganggotai Sepanyol ketika muncul juara Euro 2008 semakin dahagakan kejayaan selepas membantu City menjuarai Liga Perdana dengan menewaskan seteru utama, Manchester United.

Ketika beraksi pada perlawanan pemanas badan menentang China kelmarin, pemain yang dipanggil ‘Merlin’ di kalangan rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol tunggal untuk penyandang juara dunia dan Eropah itu mencatat kemenangan.

Pengaruhnya dalam merancang serangan membolehkan Silva menjadi pencabar utama untuk menerima anugerah Pemain Tahunan FA England. Dia sebelum ini dipilih sebagai pemain terbaik City, hasil undian rakan-rakan sepasukan, biarpun mengalami kecederaan buku lali pada pertengahan musim. Malah baru-baru ini, Silva juga telah dikaitkan dengan prospek perpindahan ke Real Madrid.

Di peringkat antarabangsa, dia yang masih tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik kadangkala berhadapan kesukaran untuk tersenarai dalam kesebelasan utama Sepanyol. “Saya tidak mempersoalkan keputusan jurulatih jika saya dapat bermain atau tidak. Saya hanya gembira jika terpilih menyertai pasukan kebangsaan.

“Ia adalah anugerah, pasukan ini dipenuhi ramai pemain berkualiti. Saya memahami keadaan ini jika pemain lain yang terpilih,” katanya.

Setakat ini, Silva telah menjaringkan 15 gol untuk Sepanyol sejak dipanggil pada November 2006, termasuk pada separuh akhir Euro 2008 menentang Rusia. Dia direkrut oleh Valencia ketika berusia 14 tahun dan dipinjamkan ke beberapa pasukan sebelum menyertai kelab ketiga terbesar Sepanyol itu.

Del Bosque sebelum ini juga telah membandingkan Silva dengan bintang Barcelona, Lionel Messi. — Utusan


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter