Stadium Kiev, gelanggang pertembungan Russia vs Republik Czech
Republik Czech berharap dapat mengulangi prestasi memberangsangkan di kejohanan lalu manakala Russia pula mahu membuktikan kemaraan ke separuh akhir pada 2008 tidak bergantung kepada nasib semata-mata apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan perlawanan pembukaan Kumpulan A Euro 2012 di Wroclaw, awal pagi esok.
Czech yang kalah kepada Jerman pada final Euro 1996 dan melangkah ke separuh akhir 2004 bertekad untuk melonjakkan kembali status sebagai kuasa besar bola sepak Eropah selepas merosot ke tangga ke-26 dalam ranking dunia Fifa.
Dengan gandingan pemain berpengalaman diterajui bintang Arsenal, Tomas Rosicky dan penjaga gol Chelsea, Petr Cech serta barisan pemain baru, skuad itu yakin untuk melepasi halangan kumpulan yang turut membabitkan pasukan tuan rumah bersama, Poland dan Greece.
“Semua pasukan akan fikir mereka mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir,” kata pengurus pasukan Czech, Vladimir Smicer.
“Perlawanan paling penting kami adalah perlawanan pertama menentang Russia. Mereka pasukan pilihan dalam kumpulan kami.” Russia tidak pernah kalah dalam 14 perlawanan dan berjaya menumpaskan Itali 3-0 dalam aksi pemanas badan Jumaat lalu.
Meskipun mempamerkan aksi kurang meyakinkan pada pusingan kelayakan termasuk ketika menang 2-0 ke atas pasukan kerdil Andorra 2-0 dan tumpas 0-1 di tangan Slovakia, Russia masih berjaya mengesahkan tempat di final tahun ini dengan menamatkan kempen di tangga teratas kelayakan Kumpulan B.
Russia tidak mempamerkan permainan menyerang yang menarik di Austria dan Switzerland pada 2008 namun mereka memiliki keampuhan di bahagian pertahanan apabila hanya dibolosi empat gol dalam 10 perlawanan.
Ia akan memberikan tentangan kepada Czech yang kebelakangan ini berdepan kesukaran menjaringkan gol dan bimbang dengan tahap kecergasan penyerang, Milan Baros.
Ketika Baros yang hanya menjaringkan tiga gol untuk Czech dalam tempoh dua tahun lalu tidak berlatih pada sesi latihan kelmarin, jurulatih Michal Bilek masih mempunyai beberapa pilihan di bahagian serangan jika pemenang kasut emas kejohanan Euro 1994 itu tidak dapat beraksi.
“Saya harap dia akan kembali di prestasi terbaik dan boleh beraksi kerana dia penyerang berpengalaman,” kata bekas penyerang Liverpool, Smicer.
“Jika dia bermain baik, kerja kami akan lebih mudah.” Bagi Russia pula, penjaga gol Igor Akinfeev, pertahanan Alexander Anyukov dan pemain tengah Marat Izmailov kembali pulih daripada kecederaan dan mula berlatih beberapa hari lalu.
Kali terakhir Russia dan Republik Czech bertemu pada 1996 apabila mereka seri 3-3 di kejohanan Euro 1996.
No comments yet... Be the first to leave a reply!