Belanda tidak lagi mahu berpuas hati dengan gelaran naib juara.
Selepas dikecewakan Sepanyol di pentas final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, skuad The Oranje kini pastinya sedar hanya trofi Euro 2012 sahaja yang mampu mengubati kekecewaan mereka dan juga peminat.
Pada tengah malam ini, Belanda bakal membuka tirai Kumpulan B kempen Euro 2012 berdepan Denmark sebelum dijadualkan menentang Jerman dan Portugal.
Meskipun Kumpulan B dianggap sebagai ‘kumpulan maut’, skuad kendalian Bert van Marwijk tetap percaya dengan kemampuan mereka untuk mendakap trofi Euro kali ini.
“Tewas dalam final Piala Dunia 2008 merupakan motivasi kami untuk muncul juara Euro 2012,” kata kapten Belanda, Mark Van Bommel.
Menurut Van Bommel, Belanda seharusnya muncul juara kali ini bagi menamatkan badi pasukan yang sering kecundang di pentas final.
“Jika gagal muncul juara kali ini, saya yakin ia akan menghantui kami buat selama-lamanya,” tegasnya.
Untuk rekod, The Oranje pernah tewas kepada Jerman pada final Piala Dunia 1974 sebelum tewas kepada Argentina dalam kempen yang sama empat tahun kemudian.
Bagi saingan Euro pula, kali terakhir Belanda muncul juara ialah pada tahun 1988.
Sementara itu, bintang Belanda, Arjen Robben optimis dengan kemampuan The Oranje bagi menghadapi Euro 2012.
Menurutnya, kekecewaan gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Bayern Munich ketika tewas kepada Chelsea dalam final Liga Juara-Juara bulan lalu juga telah diketepikan.
“Saya sudah membuka buku baharu. Kini fokus saya ialah membantu Belanda mendakap trofi Euro 2012,” kata Robben.
No comments yet... Be the first to leave a reply!