KETUA pasukan, Steven Gerrard menyelamatkan maruah Fabio Capello, dengan dua jaringan membantu England menewaskan Hungary 2-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Dua jaringan dalam tempoh empat minit oleh pemain tengah Liverpool itu harus menerbitkan wajah lega pada pengurus pasukan The Three Lions itu betapa jawatannya masih selamat.
Ia satu perasaan hebat mendapatkan dua gol untuk pasukan dan lebih penting untuk menang dan kembali yakin selepas kecewa di Piala Dunia, katanya yang bakal memimpin Liverpool menentang Arsenal dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, Ahad ini.
Apapun, England ketinggalan 0-1 selepas pelawat mendapat gol pembukaan hasil jaringan sendiri pemain England, Phil Jagielka pada minit ke-62 sebelum Gerrard menyamakan pada minit ke-69 dan mengesahkan kemenangan dengan gol kedua pada minit ke-73.
Dalam perkembangan sama, jangka hayat David Beckham bersama skuad kebangsaan boleh dianggap sudah berakhir andai berpandu kepada kata-kata Capello selepas perlawanan itu.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada anda membantu saya di Piala Dunia. Tapi dia mungkin sudah tua sikit ketika ini untuk beraksi di pentas antarabangsa,” kata Capello kepada ITV.
Tags: England, England vs Hungary, Hungary, Perlawanan Persahabatan, Stadium Wembley, Steven Gerrard