Doe sandaran Terengganu gempur Kitchee FC
TERENGGANU meletakkan harapan mereka ke atas penyerang import Francis Forkey Doe bagi membantu pasukan itu meraih kejayaan seterusnya dalam cabaran Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menentang pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC esok.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bermula 4.45 petang.
Pengurus Skuad Peteh, Datuk Che Mat Jusoh berkata Terengganu berharap Doe akan mempamerkan kebolehannya bagi menghasilkan jaringan untuk meneruskan cabaran dalam saingan Kumpulan F.
Malah beliau berkata pemain kelahiran Liberia itu yang sebelum ini dijadual mewakili pasukan negaranya ke kejohanan Liga Piala negara Afrika telah mengenepikan hasrat semata-mata mahu memberi perhatian kepada pasukan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris.
“Kita amat berbangga dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan Doe bagi membantu pasukan Terengganu dalam cabaran Piala AFC ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya perlawanan tersebut merupakan perlawanan kedua bagi Terengganu selepas menang 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di tempat lawan pada perlawanan pembukaan 6 Mac lepas.
Che Mat yang juga Yang DiPertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata Terengganu berharap dapat melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan kedua selepas pertama kali menjejakkan kaki dalam Piala AFC.
Beliau berkata pemain-pemain dan pegawai pasukan Kitchee tiba di sini semalam untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang perlawanan dan iklim tempatan.
Selepas pertemuan kedua, Terengganu akan bertemu pasukan kelab dari Singapura, Tampines Rovers FC di tempat lawan pada 4 April. — BERNAMA
March 19, 2012 - 10:15 pm
Org dalam FAM kena kerja dengan ikhlas baru mutu bolasepak kita maju.Dulu kita setaraf Jepun & Korea tapi sekarang?Kita patut cari cara macammana Jepun & Korea maju dalam sukan bolasepak.Bukan naik angin bila dikritik.